Hello pembaca SaifulSham,

Saya ingin mencoret sebuah kisah, kalau tidak menjadi sumber inspirasipun, sekadar berkongsi sejarah, bagaimana bapa saya menjadi seorang yang “financial freedom”.

Jika sebelum ini, saya lebih banyak memberitahu bahawa bapa saya melabur dalam pelaburan hartanah, tetapi disebalik penglibatan beliau dalam bidang hartanah, terdapat banyak cerita menarik mengenai beliau.

Kisah dan sejarah lalu, bagaimana beliau akhirnya mencapai status ‘financial freedom’.

Sebelum saya mengolah lebih lanjut, saya definiskan secara ringkas apa itu financial freedom. Untuk bercakap atas dasar ini, saya meletakkan beberapa perkara asas.

Orang tersebut mempunyai pendapatan tetap tanpa perlu membuat kerja seperti orang bekerja 9-5. Wang bekerja untuknya. Bukan orang tersebut bekerja untuk wang. Dan jumlah wang tersebut haruslah jauh melebihi perbelanjaan. Tiada masalah besar untuk difikirkan mengenai wang.

Berbalik kepada cerita bapa saya, beliau menuntut di UKM. Pada semasa menuntut disana sekitar 80-an, apa yang saya tahu dari ibu saya, beliau sudahpun bermain saham menggunakan wang pinjaman biasiswa (harus diingat, pada tahun 80-an, pasaran saham memang lumayan berbanding hari ini).

Kata ibu saya, bapa saya sudah boleh membeli motor menggunakan duit keuntungan bermain saham (waktu dulu, motor tu kira hebatlah,hehe).
Apabila tamat belajar, beliau bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat milik kerajaan. Disitulah beliau mula belajar secara serius dunia kewangan.

Banyak yang diketahuinya seperti bagaimana berurusan dengan pihak bank, dimana duit syarikat dibelanjakan dan berbagai-bagai lagilah.

Beliau juga selalu ke luar negeri atas urusan syarikat dan disitu beliau mula belajar mengenai investment.

Disambil bekerja sebagai akauntan (gaji ketika itu hanya dalam sekitar RM2,000), beliau menyimpan sedikit demi sedikit untuk bermain saham secara biasa (pada waktu awal 90 an, pasaran saham masih lagi menarik dan lumayan).

Kereta pertama bapa saya pada waktu itu adalah kereta Proton Saga. Disamping itu, beliau menggalakkan ibu saya bekerja selepas tamat belajar (pada awalnya, ibu saya hanya mahu menjadi suri rumah), dan setelah didesak, akhirnya ibu saya bekerja sebagai guru sehingga hari ini.

Apa yang saya perhatikan, bapa dan ibu saya mempunyai akaun bersama dibank walaupun masing-masing mempunyai akaun bersendirian yang lain.

Duit di akaun bank bersama tersebut tidak disentuh, sebagai simpanan luar jangka (untuk persedian perbelanjaan rawatan kesihatan, pendidikan anak-anak dan sebagainya).

Ketika pasaran saham lumayan ketika itu, bapa saya memang seorang yang aktif, dan duit keuntungan pasaran saham itulah yang digunakannya membina rumah yang diduduki saya hari ini.

Disamping itu, pada awal 90-an, bapa saya pernah mencuba membina perniagaan menternak ayam dengan mengupah orang membelanya. Namun, ia tidak bertahan lama apabila tidak sampai setahun kemudian, hampir semua ayam tersebut mati.

Dan itulah antara kesilapan beliau kerana pada ketika itu, ilmu perniagaan bidang penternakan ayam tidak dikuasainya sepenuhnya dan sebenarnya, risiko untuk bidang ini juga tinggi (live stock). Jadi, beliau biarkan kesilapan ini sebagai pengajaran berguna.

Beliau juga pernah menjadi agen MLM barangan kesihatan Shaklee pada sekitar tahun 1993, dan tidak banyak yang diperolehinya. Katanya, bekerja sebagai akauntan yang memenatkan, tidak ada banyak masa untuk ditumpukan kepada MLM.

Sekali lagi, bidang MLM pertama beliau gagal.

Dan sekitar 1994, beliau mula mempelajari sektor hartanah, melalui pembacaan beliau pada sebuah kisah jutawan hartanah di Amerika.

Bersandarkan pada kisah tersebut, beliau mula mengkaji bidang hartanah secara mendalam, dan akhirnya selepas menyimpan sedikit modal, beliau membuat pelaburan pertamanya membeli sebuah tanah.

Pada waktu itu, tanah pertama yang dibelinya adalah hutan tetapi lokasinya berada ditepi jalan yang menghubungkan bandar dan pelabuhan. Beliau yakin pada ketika itu kerana pelabuhan sedang mengalami kepesatan pertumbuhan dan kepadatan penduduk dikawasan sekitar bertambah dari setahun ke setahun.

Tetapi, tidak semudah disangka, ibu saya langsung tidak yakin akan keputusan bapa saya membeli tanah hutan seperti itu. Beliau banyak kali membebel bapa saya kerana membuat pelaburan yang tidak diketahui untungnya. (ibu saya memang tidak tahu menahu akan bidang hartanah)

Bapa saya bukanlah membeli tanpa usul periksa. Selepas membeli, beliau mengupah orang menebas semua hutan tersebut sehinggalah menjadi kawasan lapang dan terang. Dan pada ketika itulah, beliau memecahkan tanah mengikut lot dan menjualnya kembali kepada orang ramai untuk didirikan rumah.

Hasilnya, tanah tersebut habis dijual dalam masa tidak sampai setahun. Duit keuntungannya kemudian digunakan untuk membeli sebuah lagi tanah dikawasan sekitar yang terletak juga ditepi jalan.

Tanah tersebut disimpannya sehingga hari ini, dan harganya telah melonjak pada hari ini.

Dan kemudian, pada tahun 1997, beliau akhirnya bersara awal pada umur 40 tahun dari pekerjaannya sebagai akauntan selepas syarikat tersebut diswastakan oleh pihak kerajaan.

Duit persaraannya pada waktu itu digunakan bagi menubuhkan sebuah syarikat sumber manusia dan syarikat peruncitan.

Syarikat sumber manusia yang ditubuhkannya adalah membekalkan pekerja kilang kepada kilang di kawasan industri di Gebeng, Kuantan.

Manakala, syarikat peruncitannya bermula di Subang Jaya.

Menubuhkan syarikat sumber manusia juga tidak seindah yang disangka kerana banyak karenah pekerja yang terpaksa dihadapi, seperti pekerja ponteng, urusan kesihatan pekerja dan bermacam-macam lagi.

Begitu juga dengan syarikat peruncitan, satu kesilapan kerana pada waktu itu, ekonomi Malaysia telah mula meleset. Bapa saya sebenarnya silap memasuki bidang yang persaingannya terlalu tinggi.

Beliau pada waktu itu mempunyai sebuah gudang runcit di Subang Jaya, dan saya sendiri melihat kesukaran beliau mengendalikannya.

Membekalkan barangan runcit ke kedai-kedai kecil bukanlah boleh membuat untung besar. Saya masih ingat ketika itu saya di tingkatan 2, semasa cuti, saya mengikutnya.

Ketika itu terdapat 2 buah lori. Antara pengalaman pahit yang saya pernah lihat, syarikatnya menghantar berguni-guni gandum kepada syarikat pembuat roti. Sudahlah gandum tersebut berat tetapi untung untuk sebuah guni hanyalah tidak sampai beberapa ringgit (gandum adalah barangan kawalan kerajaan, jadi harganya sudah ditetap pihak kerajaan).

Tidak padan dengan kos minyak, maintanence lori, gaji pekerja. Banyak lagilah, antaranya lagi yang saya ingat pada waktu itu, beliau mengeksport keropok lekor dari Kelantan dan dijual dipasaran sekitar Subang.

Saya pernah melihat pekerja di pejabatnya meminta bonus untuk berhari raya, tetapi bapa saya terpaksa menolak kerana syarikat tidak mempunyai aliran tunai yang baik.

Dan karenah lainnya, pekerja penghantar barang runcitnya memberhentikan lori ditepi jalan dan tidur ditengah-tengah waktu kerja menyebabkan barangan runcit tidak dihantar mengikut jadual.

Satu lagi kenangan pahit yang saya ingat, bapa saya berhempas pulas bersaing harga dengan syarikat peruncitan bukan bumiputera yang membekalkan air kotak ke kilang-kilang. Jika hari ini, syarikat pesaingnya menjual 30 sen sekotak, esoknya bapa saya akan membalas dengan menurunkan harga kepada 29 sen sekotan. Begitulah, sehinggalah ianya bertahan hanya 2 tahun.

Syarikat peruncitan dan sumber manusia berkubur. Syarikat peruncitan paling banyak mencatat kerugian apabila sebuah lori dilarikan pekerjanya.

Tetapi, nasib bapa saya mempunyai aliran kewangan dari hartanah. Dan kemudian, beliau mencuba lagi bidang insurans.

Pada ketika skim anuiti (tahun 2000) dibenarkan dijual kepada syarikat insurans, bapa saya berjaya menjadi orang kedua terbanyak dalam syarikat insurans Takaful Nasional yang mengumpulkan dana untuk skim anuiti.

Kemudian, pihak kerajaan tidak memberikan lagi skim tersebut dijual oleh syarikat insurans. Maka, ketika itu, sekali lagi, bapa saya berundur dari bidang insurans.

Pada masa berjalan dari tahun 1995-sekarang, bapa saya membeli sebuah rumah di Pasir Gudang, Johor sebagai investment, dan membuat pembelian tanah seperti biasa.

Sehingga sekarang, aset tunai dari keuntungan hartanah sudah melebihi jutaan ringgit.

Tahun 2002, beliau mula memberikan perhatian serius kepada MLM, dan menyertai K-Link International Sdn. Bhd. Dengan usaha bersungguh-sungguh, akhirnya beliau berjaya menubuhkan sebuah stokis negeri di Kelantan (sebab itu anda lihat alamat SaifulSham di Kelantan).

Rangkaiannya berkembang dengan baik dan pasaran utama beliau kini adalah rangkaian dari Indonesia.

Kini, beliau menumpukan sepenuh masa kepada bidang MLM dan hartanah, dan syarikat hartanah kepunyaannya kini berkembang dari pelaburan individu kepada syarikat hartanah yang melabur dalam pembelian tanah dan dalam perancangan membina bangunan dan lot kedai.