Saya pernah berjanji untuk menulis mengenai dunia saham untuk beginner dalam bulan lepas. Buat masa ini, saya masih memikirkan bila mahu mula menulis.

Sebabnya, saya harus mendengar semua briefing dari ayah saya sebelum boleh menulis. Beliau lebih arif dan pakar mengenai pasaran saham, saya tidak boleh semborono menulis mengenai pelaburan kerana saya tidak mahu memburukkan imej sendiri dengan memberi info yang salah.

Buat batagolek dan lain-lain, saya akan penuhi janji saya cumanya sekarang saya hanya menulis idea secara kasar tentang bagaimana jalan cerita akan ditulis oleh saya agar semua pihak yang membacanya faham mengenai dunia saham.

Saya juga sempat membeli beberapa buku tentang pelaburan saham dua hari lalu dan saya akan kongsikannya selepas saya selesai membacanya.

Hari ini, saya seperti biasa, akan menulis sesuatu berkaitan selain internet bisnes. Saya sedang ghairah belajar hartanah dari bapa saya ketika ini, dan ada masanya saya dibawa bapa saya ke tapak hartanah untuk melihat sendiri bagaimana urusan pembelian dan penjualan hartanah berlangsung.

Kini, saya sedang menunggu bonus pelaburan saya dalam hartanah yang akan dibayar pembeli dalam 3 bulan dari sekarang. (Jangan salah faham, segala-galanya diuruskan bapa saya). Mengikut jangkaan bapa saya, duit pelaburan saya itu yang dibuat lebih setahun lepas, akan meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus.

Ia adalah kiraan kasar, tetapi jika mengikut keadaan sebenarnya, mungkin melonjak sehingga 70-80 peratus.

Wah, ia adalah baik. Mana-mana bank pun tidak mampu membayar faedah sebanyak itu!

_____________________________________________________________________

Bagaimana belajar sektor hartanah

Ok, hari ini saya berikan sedikit sebanyak dimana bapa saya belajar sektor hartanah sedangkan beliau dahulu adalah seorang akauntan.

Untuk belajar hartanah, pertama anda perlukan pengetahuan.

Ini tidak dapat tidak, anda perlu banyak membaca. Buku-buku berkaitan pelaburan hartanah banyak boleh diperolehi di kedai buku, sekurang-kurangnya anda ambil peluang untuk membelinya dan baca.

Bapa saya mengakui, bukan semua boleh diikuti dalam buku tersebut memandangkan kebanyakannya ditulis oleh mat saleh, dan mereka menulis berdasarkan undang-undang yang terdapat di negara mereka.

Bapa saya berkata, tidak mengapa, soal undang-undang mungkin berbeza tetapi soal teknik menjalankan urus niaga hartanah tidak jauh bezanya.

Buku banyak membantu bapa saya dalam membuat keputusan menceburi sektor hartanah dalam sekitar tahun 1995.

Kedua; Anda perlu rapat dengan pihak bank!

Bapa saya mempunyai ramai kenalan yang bekerja sebagai pengurus cawangan. Senangnya berurusan dengan pihak bank apabila anda mempunyai rakan di dalamnya.

Sebagai contohnya, apabila berkawan dengan orang sedemikian, bapa saya banyak belajar akan tindak tanduk pihak bank terhadap orang berurusan mengenai pinjaman hartanah.

Sekurang-kurangnya bapa saya tahu, dimana risiko sebenar jika meminjam dari pihak bank. Rakan bapa saya akan beritahu prosedur dan apa yang perlu dibuat jika meminjam sejumlah wang dari bank.

Yang baiknya, apabila kita baik dengan orang seperti itu, senang dan mudah untuk kita mendapat kredit pinjaman yang besar.

Bapa saya pernah membuat gadai janji untuk rumah yang diduduki saya untuk membuat permohonan pinjaman wang dari pihak bank. Bank selalunya mengenakan syarat untuk meletakkan aset tertentu sebagai gadaian jika kita gagal membayar wang pinjaman.

Alang-alang memohon pinjaman, bapa saya menggunakan rakannya untuk menambah jumlah wang pinjaman dari sepatutnya.

Sebagai contoh katakan; jika bank menaksirkan rumah saya ketika ini adalah bernilai Rm300,000 mengikut harga pasaran, maka bapa saya hanya boleh membuat pinjaman bernilai rm350,000. (ini contoh sahaja untuk pemahaman)

Ketiganya; Anda harus mencuba…..

Part ini amat payah untuk diterangkan kerana untuk mencuba kita perlukan modal. Untuk mencuba juga kita perlukan kepakaran.

Saya akan jelaskan lebih lanjut mengenai mendapatkan modal nanti. Agak panjang untuk menulis mengenainya kali ini.

Cuma,saya ingin memberitahu anda.

Seorang pakar hartanah dari Amerika, saya lupa siapakah namanya mengatakan ;

” Walaupun anda mungkin lambat kaya dengan hartanah, tetapi ia adalah pasti” 

Untuk menjadi kaya dengan hartanah mungkin ada masanya anda lambar memperolehi hasil, tetapi, keadaan adalah pasti. Bukan seperti menjalankan perniagaan konvensional, anda tidak tahu, sama ada perniagaan anda boleh berjaya atau tersangkut di tengah jalan.

Itu bezanya hartanah dengan perniagaan biasa.

Mencuba, jika tidak ada keuntungan pada hari ini tidak mengapa kerana kekayaan sudah hampir pasti tertulis ( mencuba dengan ilmu laah, bukanya mencuba sesuka hati)

___________________________________________________________________

Saya akan masukkan topik yang lebih berat lagi mengenai hartanah pada masa depan seperti cukai, surat perjanjian, ukur tanah.

_____________________________________________________________________

Kerjaya sebagai broker hartanah 

Menjadi broker hartanah (orang yang memberi rekomendasi kepada bakal pembeli hartanah = sama fungsinya dengan remisier dalam pasaran saham) juga boleh dilakukan sebagai kerjaya sampingan.

Ia lumayan juga jika anda berhasrat menjadi broker hartanah.

Cuma anda perlu sedikit bekerja keras untuk mencari hartanah sesuai untuk direkomen kepada bakal pembeli (tidak kira sama ada pembeli individu atau pemaju).

Anda akan mendapat komisyen atas angin.

Tahukah anda, tidak ramai yang ingin menjual tanah tahu dimana untuk dijual.

Tugas broker inilah yang mencari bakal pembeli kepada tuan tanah.

Dan broker, jika bernasib baik, jika berjaya memikat pembeli untuk membeli sesebuah tanah, broker juga boleh tumpang sekaki mendapat komisyen.

Anda tidak perlu modal besar, hanya mungkin modal minyak motor untuk mencari-cari kawasan menarik yang ingin dijual tuan tanah, dan anda hanya perlu memberi rekomendasi kepada bakal pembeli.

Selalunya komisyen untuk broker hartanah juga lumayan. Ia dicadangkan jika anda tiada modal untuk menceburi bidang hartanah, dan ia adalah peluang anda belajar mengenai hartanah.

Dan ia adalah peluang juga untuk anda mengumpul modal sebelum melangkah dalam bidang hartanah.

Tanyalah broker hartanah, mereka tahu hartanah sektor lumayan, sebab itulah mereka menjadi broker.

Siapa kata tidak lumayan menjadi broker hartanah? Kawan bapa saya yang selalu memberi rekomendasi kepada bapa saya untuk membeli tanah, dianggarkan setiap hartanah yang dibeli bapa saya, beliau tidak kurang mendapat setidak-tidaknya RM5000 ke atas bergantung kepada keadaan hartanah dan harga pasaran.

Nilai itu dikira baik untuk kerjaya yang dibuat secara sampingan!