Hello pembaca SaifulSham,

Nampaknya, saya mencuri sedikit masa dalam study week ini untuk menulis pos di SaifulSham.

Minggu depan bermulanya exam dan result exam untuk semester ini akan digunakan bagi memohon tempat untuk industrial training nanti. Saya akan ke industrial train awal tahun depan. Saya menetapkan target untuk melakukan industrial train di syarikat-syarikat kejuruteraan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia (tidak kiralah Petronas, Shell, Ranhill dan lain-lain).

Terima kasih atas wish-wish anda pembaca SaifulSham. Saya dan Sabri amat hargai sekali (Rasa bersemangat nak ambil exam!)

Baiklah, saya ada berjanji untuk menyambung penulisan mengenai saham. Saya holdkan dahulu kerana saya ingin memberi laluan kepada penulisan mengenai dunia hartanah.

Jadi, apakah topik hari ini?

Al kisah….

Sabri ada memberitahu saya bahawa, zul(www.blog.smartusaha.com)ingin bertanya mengenai hartanah. Lebih kurang beginilah soalan yang diutarakan zul.

“Skang ni saya nak cari rumah sewa dan dah confirm dgn sorang abang ni. So, leh tak saifulsham bg tips atau panduan sikit kpd si penyewa

Ya lah, untuk pastikan hak kita terjaga dan juga tukang sewa pun terjaga juga. Win-win lah.. Sbb sy kurang tahu sgt ‘cara2′ atau perkara yg berkaitan dgn sewa rumah nih. Apa yg patut, apa yg penting, apa hak kita, et etc.. Jika leh, x kisah lah tulis kat blog atau just balas je ke emel ni.. :) …….”

Waah, soalan dari penyewa! Sebelum ini saya selalu menulis mengenai tuan rumah, tetapi kali ini atas permintaan Zul, saya sedia berkongsi sedikit sebanyak apa yang saya tahu mengenai menjadi penyewa super!

Ini jawapan saya:

Sebelum kita menjadi penyewa kepada seseorang tuan rumah, banyak faktor yang harus diambil kira sebelum anda bersetuju untuk menjadi penjaga aset si tuan rumah tersebut.

Anda tidak boleh mengangguk untuk semua syarat yang ditetapkan penyewa. Yang pasti, anda kena tahu hak dan kepentingan anda agar anda mendapat nilai setimpal dengan apa yang dibayar anda.

Disini saya berikan takrifan saya mengenai penyewa dan tuan rumah:

Seorang penyewa yang baik adalah yang menjaga dengan baik aset tuan rumah tersebut disamping membuat bayaran bulanan tepat pada waktunya.

Seorang tuan rumah yang baik adalah yang menjaga kebajikan penyewanya (sepadan dengan apa yang dibayar penyewa).

Sebelum membuat keputusan membeli atau menyewa, mari kita lihat apa yang perlu diambil perhatian penyewa:

1) Lokasi rumah yang disewa
Sebolehnya, pilihlah lokasi yang baik dan dekat dengan prasarana. Sudah tentu dekat dengan kemudahan prasarana ini memudahkan untuk berurusan sama ada mahu keluar membeli-belah, keluar ke klinik dan sebagainya.

Dan yang paling penting, ia tidak jauh dari kawasan kejiranan. Sebabnya, kita harus juga memikirkan soal keselamatan kita apabila memilih lokasi yang disewa. Ada orang suka tinggal kesunyian nun jauh terpencil. Ada orang suka tinggal dikawasan kejiranan yang ramai.

Bagi saya, saya akan memilih lokasi yang dekat dengan jiran tetangga. Ini penting bagi membolehkan kita mudah untuk mendapatkan sebarang pertolongan disaat memerlukan dan tidak kurang juga merapatkan silaturahim.

Saya takutnya, jika anda memilih lokasi yang sunyi sepi, anda membuka peluang kepada pencuri untuk memecah masuk rumah anda. Sebarang jeritan meminta tolong, atau sebarang penggunaan seni mempertahankan diri (walaupun anda ada black belt) hanya sia-sia apabila si pencuri mengacukan pistol di kepala anda. Oh, tidak. Ini bukan lokasi sesuai.

Fikirkan juga, kalau anda pulang ke kampung. Siapa mahu menjaga aset anda? Pencuri tidak boleh mencuri aset tuan rumah (rumahlah), tetapi aset yang ada dalam rumah tersebut (aset anda)!

Jadi, sebelum mengatakan ya kepada tuan rumah, sila suruh beliau bawa anda ke lokasi rumah yang hendak disewa.

2) Kondisi rumah
Ada penyewa tidak kisah keadaan rumah. Biarlah rumah tersebut mungkin rumah yang dibina tahun 80-an, 70-an. Yang penting, janji sewa murah!!

Kesilapan melihat kondisi rumah boleh membawa padah kepada anda wahai si penyewa. Dalam banyak kes, jarang untuk berjumpa dengan tuan rumah yang baik hati.

Sebabnya, kebanyakan rumah yang dibina pada tahun 70-an,80-an ataupun awal 90-an, memang akan banyak masalah timbul seperti kebocoran atap, sink bocor, tandas tersumbat dan macam-macam lagi hal ehwal yang memeningkan kepala. Hanya tuan rumah yang berhati malaikat sahaja sanggup mengeluarkan belanja untuk membaiki hal ehwal masalah ini. Selainnya, diserahkan kepada penyewa.

Sebolehnya, lihat dahulu kondisi rumah yang disewa. Buat penelitian betul-betul. Jika boleh, datang melihat ketika hari hujan. Tengoklah, apa yang terjadi pada rumah tersebut. Apakah boleh bertahan ataupun dipenuhi air. Jangan bersetuju jika anda tidak berpuas hati.

Masalahnya sekarang, anda adalah penyewa, anda akan membayar tuan rumah setiap bulan. Jadi, ujarlah kepada tuan rumah “Saya boleh menyewa rumah ini dengan syarat segala kerosakan besar dibaiki anda”. Buat perjanjian khas dengan tuan rumah.

Yalah, memang sepatutnya tuan rumah harus memastikan keadaan rumah yang ingin disewakan tip-top. Jangan biarkan anda bersetuju untuk membaiki kerosakan yang anda tidak buat. Itu bukan kerja anda.

3) Kesesuaian rumah
Ya, lihatlah kesesuaian rumah dengan keadaan diri anda. Adakah anda ini bujang, berkahwin, bermadu! Atau sebagainya. Sesuaikan dengan pekerjaan dan status anda. Sebolehnya, jangan belanjakan banyak gaji anda atau biasiswa anda untuk membayar sewa rumah. Kalau yang bujang, kongsi-kongsilah dengan rakan.

Yang penting, apabila berkongsi, pastikan perangai rakan-rakan anda baik. Jangan ada yang merosakkan apa-apa aset tuan rumah kerana ini secara tidak langsung akan menaikkan suhu kemarahan si tuan rumah ( Ini memang terjadi kepada bapa saya)

Kalau yang berkahwin, rumah yang ideal adalah yang mempunyai satu atau dua bilik tidur. Tandas satu cukup. Dapur pun satu.

3) Lihat pasaran
Ada orang yang menyewa suka melihat kepada kecantikan rumah. Tetapi buat golongan bujang yang menyewa, ini bukan tarikan utama anda. Jadi, pastikan, anda dikenakan sewa bulanan yang terbaik.

Anda harus mengkaji pasaran di kawasan perumahan anda. Tanya jiran sebelah, berapa yang dibayar mereka setiap bulan. Tanya penduduk yang tinggal berdekatan yang menyewa, berapakah yang dibayar mereka.

Ini penting sebagai langkah anda tidak merasa tertipu apabila anda baru tersedar bahawa sewa anda adalah yang paling tinggi di kawasan tersebut. (Wakennabeb!). Kalau anda tersedar sewa yang dikenakan tinggi, tanya rasionalnya kepada tuan rumah. Hatta ia mahal RM100, baik anda bertanya. Jangan katakan yes sahaja hanya kerana anda berkongsi beramai-ramai (dengan anggapan tidaklah beban pun sebab bayar sewa sikit sorang).

4) Minta diskaun!
Soal ini mungkin paling sukar. Kalau anda ini jenis yang tawar-menawar, tawarlah sehingga harga sewa anda adalah paling murah. Tetapi, jika anda ini jenis yang lurus bendul, anda tidak boleh membiarkan lurus bendul anda merugikan anda. Seboleh-bolehnya, buatlah permintaan.

“Wahai si tuan rumah, kalau saya bayar setiap bulan tepat pada masanya, tiadakah ganjaran kepada saya?”

“Wahai si tuan rumah, jika selama saya menyewa rumah anda dengan baik (tidak ada kerosakan), apakah tiada ganjarannya?”

Ini langkah yang tidak kurang pentingnya. Sebabnya anda harus ingat, si tuan rumah memang inginkan penyewa yang menyewa di rumahnya. Kalau tidak, siapa yang ingin memberikannya pendapatan tetap.

Kedua, si tuan rumah harus berfkir, kalaulah dia inginkan anda setia untuk menyewa rumahnya, dan dalam tempoh itu anda menjaga baik rumahnya, si tuan rumah akan berfikir 2,3 kali betapa susahnya untuk mencari orang seperti anda.

Realiti dunia memang begini, bukan senang untuk mencari penyewa yang baik. Jadi, sebagai ganjaran anda sebagai penyewa super, bodeklah tuan rumah anda.

(kalau harga yang ditawarkan sudah pun murah, dan tuan rumah tidak mahu memberikan diskaun, itu sudah tidak mengapa)

Tips membodek tuan rumah:
Apabila ada keraian seperti kenduri kahwin, doa selamat, jamuan hari jadi di rumah anda. Janganlah lupa sesekali menjemput tuan rumah datang meraikan bersama-sama. Ini kunci bagi membina hubungan yang baik antara tuan rumah dan penyewa. Apabila anda membina hubungan yang ceria, akan lembut juga hati si tuan rumah nanti. Percayalah~
5) Urusan-urusan berkaitan

Sebelum berkata setuju menyewa, pastikan soal berkaitan rumah itu sudah diselesaikan tuan rumah. Janganlah nanti rumah anda tidak mempunyai CF (sijil layak menduduki), maka anda akan dikenakan kompaun oleh majlis perbandaran.

Caj guaman juga harus ditanyakan pihak anda. Apakah anda menanggung semua caj guaman atau sebaliknya.

Soal pembayaran elektrik, air dan bil-bil berkaitan adalah urusan anda wahai si penyewa.

Seharusnya, sila lah buat sedikit perjanjian dengan tuan rumah berkaitan dengan semua perkara di atas:
- kerosakan besar yang bukan dibuat anda, harus ditanggung pihak tuan rumah.
- kerosakan kecil akan ditanggung anda, dengan syarat andalah yang merosakkannya. Kalau hendak suruh tuan rumah selesaikan boleh tetapi berpadalah dengan nilai. Jangan hanya benda leceh seperti kerosakan bernilai RM10 pun hendak minta tuan rumah selesaikan. Selesaikanlah sendiri.

- minta diskaun untuk bayaran yang dibuat tepat pada masanya.
- mintalah potongan harga jika anda menyewa rumah tersebut lama dan anda menjaga dengan baik.
6) Memilih tuan rumah
Kalau boleh, jangan stick to one person apabila memilih rumah untuk disewa. Ada banyak tuan rumah sama ada dikawasan perumahan tersebut atau kawasan perumahan berdekatan yang harus diambil kira.

Bandingkan kesemua calon-calon anda. Siapakah yang terbaik dan rumah dialah bakal disewa anda.

Mmm, banyaknya. Saya rasa, inilah antara yang penting yang harus dilihat si penyewa. Berkenaan hal yang lebih detail tu, saya akan terangkan jika terdapat soalan dari pihak anda.

Untuk Zul, saya harap saya telah menjawab soalan anda.

Jika ada kemusykilan mengenai hartanah, ajuakan sahaja kepada Team SaifulSham dan kami akan cuba membantu sedaya upaya. Sekian~
Â