Hello pembaca SaifulSham,

Setelah buku tulisan Team SaifulSham menjengah pasaran pada bulan Mac yang lalu, ramai dari rakan dan tidak kurang juga pensyarah mengucapkan tahniah dan tumpang gembira.

Terima kasih, saya juga begitu! Ada antara rakan saya mula bertanya …..

“Syazwan, awak semakin popular sekarang, takkan tiada niat untuk ehem, ehem…..” soalnya.

Saya bertanya kepadanya kembali, “Apakah itu ehem,ehem?”

“Berpacaran!”

Saya tersenyum. Berfikir kembali, layakkah saya yang berusia 21 tahun ini berpacaran ketika ini (Saya rasa Sabri ada jawapan untuk ini!Ahaa).

(Untuk berpacaran itu, mungkin saya harus berfikir apabila ibu saya mula membebel nanti, haha)

Kemudiannya, ada juga yang datang kepada saya untuk mempersoalkan kewajaran saya berada di universiti.

Katanya ” Awak sudah banyak duit, mempunyai perniagaan sendiri, mengapa perlu bersusah payah belajar seperti orang lain”

Saya senyum kembali kepadanya, “Ilmu itu dituntut sehingga ke saat nafas terakhir”.

Sebenarnya, ramai yang mengenali saya terkejut akan pencapaian perniagaan internet Team SaifulSham walaupun dalam usia kami yang masih begitu muda.

Bagi saya, soal kaya di waktu muda atau tua berbalik pada satu jawapan, iaitu matlamat awal seseorang.

Dan apakah tindakan seseorang untuk mencapai matlamat tersebut.

Saya kongsikan kepada anda kisah jujur lagi ikhlas dari saya.

Sejak dari bangku sekolah, saya memang mengimpikan untuk menjadi seorang jutawan dalam usia muda.

Bukan sahaja dalam minda tetapi juga dari segi perlakuan saya. Bermula dari sekolah menengah, saya cukup meminati Bill Gates.

Walaupun saya sedar, ia adalah suatu keajaiban jika saya dapat menyamai Bill Gates, tetapi saya tanamkan hasrat, setidak-tidaknya, kalau tidak sekaya Bill Gates, cukup sekadar Bill Gates mengenali saya nanti (haha, inipun sudah dikira terlalu kaya).

Pengakuan jujur dan ikhlas saya: Saya sebenarnya begitu cemburu melihat rakan-rakan di sekolah menengah saya (tingkatan 3) mampu memiliki telefon bimbit pada waktu itu (walaupun telefon itu sebesar botol air). Saya rasa sikap cemburu saya itu baik kerana pada ketika itu, saya sedar, untuk mendapatkannya, saya perlu belajar sehabis baik.

Jadi, saya tahu, jika saya belajar tinggi, saya lebih mudah menjadi kaya berbanding jika saya terkontang kanting.

Dalam tingkatan 4 dan 5, saya bergiat aktif dalam persatuan usahawan muda. Saya mula belajar berniaga secara kecil-kecilan dengan membantu kelab mencari sumber pendapatan dengan menjual makanan dan minuman.

Kenangan manis saya pada waktu itu adalah mengetuai sekolah saya menjuarai pertandingan usahawan seluruh MRSM SeMalaysia (saya merasa seolah-olah saya memenangi anugerah CEO of The Year).

Pada ketika itu jugalah, saya mula mengenali dunia bisnes secara lebih mendalam dengan membaca buku-buku bisnes milik bapa saya.

Kalau anda bertanya, betulkah saya membaca atau sekadar mebelek-belek. Saya akan menjawab, ya, memang saya hanya sekadar belek-belek.

Bayangkan, orang pertama kali seperti saya membaca ruangan dalam majalah bisnes, apa di dalam fikiran orang tersebut? Seolah-olah membaca buku bahasa Sepanyol!

Tetapi, demi cita-cita dan matlamat saya menjadi jutawan dalam usia muda, saya secara paksa rela membacanya. Walaupun kadangkala, satu perkataan haram saya tidak faham (terutama mengenai analisi pasaran saham).

Tetapi kesannya begitu luar biasa, sejak dari itu, saya teruskan pembacaan sehingga hari ini, saya sudahpun tahu sedikit sebanyak selok belok pasaran saham (walaupun tidaklah sepakar mana), saya tahu perjalanan bisnes, saya tahu keadaan ekonomi negara, dan bermacam perkara mengenai bisnes.

Kalau anda tanya kepada saya mengenai perasaan ketika ini, saya risau dan gundah gulana jika kekecohan di Asia Barat berterusan, sebab, ia memberi impak kepada kestabilan ekonomi serantau (opsss, cukup, itu sahaja komen saya).

(Soalan saya: Jika anda bertanya kepada seorang remaja seusia saya, rata-rata akan menjawab: Itu bukan urusan aku, oh kita kena serang Israel, oh apa susah-susah, bom je!…dimana pandangan dari sudut kritikal ekonomi, mungkin hanya pelajar ekonomi sahaja boleh menjawabnya) 

Matlamat akhir saya, adalah mencapai kebebasan kewangan dalam usia muda.

Hari ini bukan lagi seperti hari sebelumnya. Jika hari sebelumnya, perkataan ‘muda sudah kaya’ adalah satu perkataan yang janggal, tetapi hari ini tidak ada yang mustahil.

Ramai orang berpendapat, kaya hanyalah ketika waktu tua nanti (itupun jika kena pada matlamat asal, tetapi selalunya semakin kita menangguhkan matlamat kita, semakin sukar untuk mencapainya, dan kita akan menjadi semakin tua dan semakin jauh dari kekayaan).

Tetapi bagi saya, selagi saya berpegang pada cita-cita asal saya, perkataan “mustahil” itu akan menjadi “pasti”.

Lapangkan minda anda kembali, dan fikirkan, apakah anda sudah mencapai atau sudah membuat pelan untuk cita-cita anda.

Jumpa lagi.

 

Â