Hello pembaca SaifulSham,

Kebelakangan ini terlalu ramai “cerdik pandai” dalam pelaburan yang datang mempromosikan berbagai-bagai jenis pelaburan dengan falsafah…..

“Melaburlah mengikut kemampuan anda”

Strategi yang digunakan oleh mereka mudah, “Anda laburlah mengikut risiko pelaburan yang boleh diterima anda”.

Saya pernah didatangi dengan panggilan telefon ( entah dimana mereka dapat nombor telefon bimbit saya?!) dengan memujuk saya untuk melabur.

Dan yang paling melucukan saya, mereka datang dan berkata “Syazwan, anda mempunyai nama dan pengaruh, jadi jika anda melabur program pelaburan ini, anda dapat menarik ramai pelabur baru…dan pastinya anda akan lebih cepat kaya”

Saya banyak berdiam apabila diutarakan pertanyaan sebegitu dan selepas promoter itu meletakkan telefonnya, saya terus mendail nombor telefon bapa saya untuk meminta nasihatnya. Dan pastinya, sepanjang pertanyaan saya kepada bapa saya, tidak satupun program pelaburan yang saya sertai!

Tuan-tuan dan puan-puan,

Walaupun pernyataan promoter tersebut adalah benar bahawa “melaburlah mengikut kemampuan anda, melaburlah mengikut risiko yang boleh diterima”, tetapi sepanjang pemerhatian saya, hampir semua pelabur program-program pelaburan yang berisiko tinggi melabur dengan jumlah yang tidak munasabah!

 Ramai pelabur begini melabur dengan tidak dapat tidur di waktu malam dengan selesa. Tidak dapat makan dengan senang, tidak dapat beribadat dengan baik kerana setiap hari mereka memikirkan, apakah nasib pelaburan mereka!

Secara luaran mereka ini akan sentiasa tersenyum dan memberikan penampilan yang menyakinkan (sekadar action menarik pelabur baru) tetapi sebenarnya mereka menyembunyikan situasi mereka ibarat bom jangka yang diikat dibadan mereka. 

Jika ini terjadi, anda sudah salah memilih pelaburan dan ia tidak sesuai dengan diri anda!

Itu pertamanya, keduanya, saya melihat kebanyakan pelabur yang melabur dalam program berisiko tinggi tidak mempunyai pengetahuan mendalam dalam bidang pelaburan tersebut.

Apabila ditanya, mereka menjawab “Baru seminggu lepas, rakan saya menempah sebuah Perdana hasil keuntungan pelaburan, jadi mengapa saya perlu berdalih lagi untuk melabur. Yang penting, sudah ada buktinya!”

Jawapan singkat dan yang paling penting, tidak munasabah!

 Tuan-tuan dan puan-puan,

Jika anda seorang yang muda dan berdegil dengan kebenaran program pelaburan anda, saya hanya boleh mengucapkan selamat maju jaya (anda jangan beritahu SaifulSham tidak memberi nasihat selepas ini)

Akan tetapi, tidak dapat saya bayangkan, jika anda sudah berumur, mempunyai keluarga dan menggunakan hampir semua wang pencen untuk melabur, dan anda hilang kesemua pelaburan anda. Dimana lagi simpanan untuk anda hidup?

Saya sentisa memegang kata-kata ini dalam membuat keputusan untuk melabur: 

Hidup ini bukan bermakna meletakkan pertaruhan kepada sesuatu yang diluar kawalan kita. Fikir-fikirkanlah —-

 Jumpa lagi.

========================================================

Quote Syazwan SaifulSham

” Terdapat 2 sahaja program pelaburan di dunia ini, pertama, program pelaburan yang menjamin kekayaan tetapi selalunya ia tidak disukai oleh ramai orang kerana pulangan yang sedikit dan memakan masa ( 5 tahun ke atas). 

Dan satu lagi adalah program pelaburan yang meletakkan pedang di kepala. Program ini memerlukan modal besar, menjanjikan pulangan terlalu indah, dan cepat.Peliknya, program sebegini lah disukai ramai orang!”

=========================================================