Hello pembaca SaifulSham,

Hari ini saya akan menyambung kembali penulisan saya dalam dunia saham. Dikala saya belajar dunia saham dari bapa saya, saya pernah dipromosikan untuk melaburkan wang saya dalam saham amanah atau dalam bahasa Inggerisnya “Unit Trust”.

Saya cuba bertanya kepada bapa saya, apakah begitu hebatnya melabur sejumlah wang ke dalam saham amanah kerana pulangan yang dijanjikan oleh agen jualan saham amanah kadangkala begitu sukar untuk diperolehi sebagaimana jika kita bermain saham secara individu. Ya, ada syarikat saham amanah yang memancing pelabur baru dengan menunjukkan rekod cemerlang mereka menguruskan pelaburan anda.

Jujurnya, bapa saya tidak pernah pun seumur hidupnya melabur wangnya dalam saham amanah. Bukan tidak bagus atau baik, tetapi prinsipnya, adalah lebih baik kita melabur sendiri kerana, saham amanah adalah sama dengan melabur dalam saham yang lain. Bezanya, ia diuruskan oleh pengurus dana (fund manager) yang bekerja untuk anda.

Tetapi realiti hidup, tidak semua saham amanah adalah baik dan bagus. Sebab itu, bapa saya lebih senang menguruskan sahamnya sendiri.

Sebenarnya, ramai orang berfikiran mudah, hanya memberi sejumlah wang kepada syarikat saham amanah, dan menunggu pulangan. Tetapi, hidup tidak selalunya indah. Untuk pengetahuan anda, bapa saya pernah berbual dengan seorang rakannya yang menjawat jawatan pengurus dana kepada sebuah syarikat saham amanah.

Katanya, sebenarnya, bukan mudah untuk menjadi seorang pengurus dana. Ini kerana, hidupnya penuh dengan tekanan, bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan harapan setiap pelabur.

Oleh sebab untuk mendapatkan keuntungan semaksimum mungkin, kebanyakan pengurus dana selalunya melaburkan wang kita dengan melihat keuntungan jangka pendek. Sebab, setiap tahun, mereka harus bekerja untuk menjadikan pulangan pelaburan anda, jika tidak lebih tinggi dari tahun sebelumnya, sekurang-kurangnya adalah sama.

Seperti dalam tulisan saya sebelum ini, untuk menjadi seorang pelabur saham yang berkarisma dan kacak, anda harus menjadi seorang pelabur yang berfikiran seorang usahawan. Dan sebab itu, anda harus melihat pada sudut pelaburan jangka panjang, dan tidak berfikiran pelaburan jangka pendek.

Satu lagi perkara mengenai saham amanah, mengikut apa yang diperhatikan, kebanyakan pengurus dana saham amanah tempatan lebih memfokuskan untuk mendapatkan dana baru berbanding menguruskan dana sedia ada.

Dan selalunya akan timbul masalah apabila dua situasi yang bakal berlaku. Apabila keadaan pasaran saham lembap, dan kebanyakan harga saham jatuh atau rendah, mereka akan pening kepala memikirkan cara dan kaedah untuk memenuhi matlamat keuntungan dari pelabur seperti anda.

Mereka terpaksa menjual pelaburan ke atas saham yang tidak menguntungkan walaupun merugikan kerana mereka akan mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Dan selain itu, mereka terpaksa menggunakan dana baru untuk mencari pelaburan lain untuk menutup kerugian ke atas saham sebelumnya.

Begitu juga jika keadaan ekonomi yang baik, mereka terpaksa mencari dana yang besar untuk menampung pembelian saham yang pada ketika itu harganya tinggi. Mereka terpaksa melakukannya demi untuk memenuhi expectation dari anda.

Jadi, anda nampak betapa sukarnya menjadi seorang pengurus dana. Saya tidak berkata saham amanah tidak baik atau elakkan. Bagi saya, walaupun segala rekod cemerlang yang lalu yang ditunjukkan mana-mana syarikat saham amanah, anda perlu tahu bahawa mereka juga bermain saham.

Mereka juga berdepan risiko yang sama tidak kira ketika ekonomi adalah baik ataupun buruk. Jadi, walau apa pun rekod yang lepas, itu adalah rekod yang lalu. Yang baik pada lepasnya boleh jadi buruk pada akan datangnya.

Tidak banyak syarikat saham amanah yang berjaya. Kebanyakan saham amanah terutama milik kerajaan negeri bungkus ketika kegawatan ekonomi yang lepas.

Kesimpulannya, ada pro dan kontra untuk melabur dalam saham amanah. Pro nya, adalah saham anda diuruskan oleh pengurus dana yang pakar, tetapi kontranya, mereka juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan pelaburan.

Bagi bapa saya, dia lebih senang untuk menguruskan sendiri permainan sahamnya dari memberikan tugasnya kepada pengurus dana. Bapa saya mungkin dengan caranya, tetapi segala akhirnya bergantung kepada anda juga.

Bagaimana dan apakah pilihan hati kalbu anda. Uruskan sendiri atau saham amanah.

 

Â