Hello pembaca SaifulSham,

Saya ada menerima soalan dari beberapa pengunjung laman web ini berkaitan hartanah. Berikut saya siarkan salah satu soalan dan jawapan yang saya berikan yang boleh dimanfaatkan bersama.

” saya ingin meminta pendapat dari SaifulSham..saya mempunyai tanah pusaka di Pengkalan Kubur, Kelantan.Tapi tanah itu saya rasa tidah mempunyai value, dan tidak tahu bagaimana untuk uruskan tanah itu.

Terdapat 3 penyewa di atas tanah itu..dan satu penyewa tidak membayar apa2..duduk free sbb arwah nenek saya tak pernah minta sewa sbb dia anak saudara nenek saya. Ayah saya pernah menyatakan untuk menjual tanah tu, tapi saya menghalang, kerana ada cara lain untuk memajukan tanah itu.

Tapi saya tak tahu bagaimana caranya, kerana ia adalah kawasan terpencil dan kawasan kampung.Disini, sy meminta jasa baik Team SaifulSham untuk memberi pendapat terhadap masalah saya ni. Terima Kasih.” – Juliana

Ini jawapan dari Team SaifulSham:

Memang secara umumnya tanah yang terletak di kawasan terpencil tidak mempunyai nilai yang tinggi. Tetapi saya inginkan kepastian dari pihak saudari sendiri apakah yang dimaksudkan terpencil oleh saudari.

Dalam fikiran saya, ia mungkin tidaklah terlalu terpencil jika sudah terdapat 3 penyewa ke atas tanah saudari.

Lumrahnya, orang akan menyewa sesuatu tempat kerana mempunyai faktor lokasi yang baik seperti mempunyai kemudahan asas/ prasarana (sekolah, pekan, klinik dan sbgnya). Ini adalah faktor terpenting untuk menilai sesebuah hartanah.

Dengan terletak dilokasi yang berdekatan prasarana, sudah tentu permintaan juga akan menggalakkan. Dimana ada permintaan, disitulah penyebabnya harga hartanah itu melonjak.

Berkenaan dengan penyewa, apakah status penyewa yang menyewa tanah saudari. Begitu jugalah dengan anak saudara arwah nenek saudari yang duduk menyewa secara percuma. Apakah terdapat perjanjian di antara arwah nenek saudari dengan penyewa-penyewa tersebut semasa nenek saudari masih hidup.

Sebenarnya, saudari tidak perlu khuatir akan penyewa jika saudari berhasrat membangunkan tanah tersebut. Ia adalah milik mutlak saudari. Adapun mungkin arwah nenek saudari pernah membuat perjanjian sewa di kalangan penyewa tersebut, tetapi perjanjian tersebut dikira terbatal sekiranya tanah milik itu dipindah milik. Melainkanlah ketika penukaran pindah milik, perjanjian itu disambung semula.

Sebagai contohnya, mungkin sekarang tanah itu diwariskan kepada bapa saudari daripada arwah nenek saudari. Maknanya, segala perjanjian yang dibuat arwah nenek saudari dengan penyewa dikira terbatal atas sebab tanah itu sudah milik bapa saudari dan perjanjian itu bukan dibuat oleh bapa saudari.

Begitu jugalah sekiranya bapa saudari memindah milik tanah itu kepada saudari, segala perjanjian yang dibuat bapa saudari akan terbatal.

Berkenaan soal memajukan tanah tersebut, kaji dahulu faktor permintaan dan lokasi milik tanah saudari tersebut.

Soal cara bagaimana memajukan tanah, saya tidak boleh memberikan nasihat secara khusus memandangkan saudari tidak memberikan penerangan yang detail. Tetapi secara kasarnya adalah begini:

1) Rumah atau Kedai
Orang jarang membangunkan rumah atau kedai untuk dijual atau disewa kerana kosnya yang tinggi. Tetapi mungkin bagi orang yang mempunyai cash flow yang tinggi, perkara membangunkan tanah dengan membina rumah atau kedai ini menjadi agenda utama mereka.

Saya tidak mencadangkan cara ini kepada saudari memandangkan kawasan hartanah yang dimaksudkan saudari agak terpencil. Mungkin permintaannya kurang dan paling penting lokasinya.

2) Tanah Lot
Ya, cara ini mungkin sesuai jika saudari berhasrat memecahkan tanah tersebut menjadi tanah lot dan ianya dijual. Walaupun begitu, harus diingat, walaupun cara ini boleh dikatakan paling murah tetapi ianya juga boleh menjadi mahal sekiranya saudari tidak mengambil kira beberapa risiko yang mungkin terjadi.

Sebagai contohnya, mungkin ada permintaan dari penduduk kampung untuk membina rumah dan mereka mencari tanah lot yang sesuai di kampung saudari, dan saudari mungkin adalah jawapan bagi mereka.
Tetapi mungkin disebabkan lokasi yang mudah terdedah kepada banjir (setahu saya Kelantan selalu dilanda banjir), saudari mungkin terpaksa menghabiskan sedikit wang untuk menambun tanah bagi meninggikan kawasan itu.

3) Pertanian
Untuk mengerjakan sebidang tanah atas tujuan pertanian, saudari perlu tahu kesuburan sesuatu tempat. Apakah ia sesuai ditanam dengan apa? Jika ada, apakah berbaloi dengan menanam dalam sebidang tanah yang kecil dan keuntungan atasnya adalah kecil disamping masa yang diambil untuk membuahkan hasil mungkin berbulan atau bertahun.

Ada banyak risiko untuk memajukan atas nama pertanian. Saya rasa saudari tahu akan risiko-risikonya.
Baiklah, sebenarnya, untuk apa-apa hartanah itu dibangunkan, pastikan ia dekat dengan prasarana tempatan ( pasar, klinik, sekolah, pejabat, pekan).

Kalau tidak dekat pun, pastikan tanah tersebut mempunyai jalan penghubung untuk membolehkan orang sampai kepadanya. Yang paling baik adalah jalan bertar. Dengan itu, nilai hartanah saudari boleh melonjak dengan baik disamping faktor permintaan yang juga tidak boleh diketepikan.

Tetapi, jikalah semua itu tidak terdapat pada hartanah saudari, jalan paling baik dan selamat adalah dengan terus menyimpan tanah tersebut. Mungkin dalam 5-10 tahun akan datang, kawasan itu akan membangun dan prasarana dibina dan bertambah baik, maka ia adalah masa yang paling sesuai untuk membangunkan hartanah itu dan mendapat pulangan yang lumayan.

Untuk membangunkan hartanah pada masa ianya tidak mempunyai kemudahan prasarana yang baik, adalah sukar dan jika dapat dijual sekalipun, tidak mungkin saudari boleh mengaut keuntungan yang besar walaupun terdapat permintaan. Faktor permintaan dan kemudahan prasarana adalah berhubung kait secara rapat.

Itu sahaja penerangan saya, buat pembaca SaifulSham yang juga mempunyai permasalahan mengenai hartanah, sila ajukan kepada saya dan saya bersedia menjawabnya.

Buat masa ini, tiada caj khidmat nasihat lagi. Hehe, apa lagi, dimasa saya boleh memberikan informasi secara percuma, rebutlah dengan bertanya apa jua kemusykilan mengenai hartanah.
Sekian, jumpa lagi kalian semua.