Hello pembaca SaifulSham,

Salah satu perkara yang menjadi mind set kebanyakan orang adalah orang-orang yang memandu kereta mewah adalah orang kaya. Mind set ini ada betulnya kerana siapa lagi yang mampu membeli kereta-kereta mewah melainkan jika pendapatannya melebihi paras orang kebanyakan.

(Ya, ada juga orang-orang tidak kaya buat-buat kaya).

Tetapi sebenarnya, saya melihat mind set sebegini dibentuk melalui pengaruh cerita tv, drama, filem dan hiburan. Kita terlalu terpengaruh dengan jalan cerita dan kehidupan selebriti, hinggakan kita sentiasa berfikir, orang kaya harus memakai pakaian berjenama, orang kaya harus memandu kereta mewah, orang kaya harus mempunyai rumah yang besar, harus mempunyai pemandu peribadi, harus mempunyai pengawal keselamatan, harus mempunyai keahlian kelab golf yang bernilai puluhan ribu setiap tahun dan sebagainya.

Sebelum mengenali apa itu erti perniagaan, kekayaan, pelaburan dan perkara sewaktu dengannya, saya juga turut sama mempunyai mind set begini.

Dahulu saya selalu tertanya, mengapakah bapa saya tidak sukakan kereta-kereta taraf mewah sedangkan itu tidak menjadi masalah baginya. Saya berfikir, mungkin perniagaan bapa saya hanya biasa-biasa sahaja. Mungkin juga pelaburan hartanahnya pun biasa-biasa sahaja.

Tetapi, selepas satu persatu hartanah dibelinya, saya mula mencari jawapan, apa sebenarnya yang dilakukannya. Melalui pembacaaan saya dalam banyak buku-buku pelaburan dan perniagaan, barulah kini saya faham, mengapa beliau bertindak sebegitu.

Dan kegilaan saya terhadap barangan mewah mulai berkurangan seiring dengan pengetahuan ilmu pelaburan saya bertambah. Dahulu, saya sanggup menghabiskan duit biasiswa sekadar untuk membeli aksesori dan pakaian berjenama.

Saya mengaku sahajalah, dahulu saya hidup (semasa mula-mula belajar diuniversiti) dengan bantuan kewangan bapa saya. Duit biasiswa adalah duit untuk bersuka ria. Pasti habis.

(Mungkin sebab itu PETRONAS sudah tidak memberikan biasiswa secara lump sum seperti dahulu, mereka telah berikan biasiswa secara bulanan mulai awal tahun ini)

Semasa awal saya mempunyai perniagaan, keuntungan juga banyak disalurkan untuk menampung kehidupan mewah saya. Semasa itu, tidak ada kesedaran dari segi pelaburan.

Mind set saya masih sama, orang kaya harus mempunyai gaya hidup mewah.

Tetapi, pengalaman berkenalan dengan beberapa orang pelabur seperti bekas peserta seminar serta pembacaan buku-buku pelaburan telah banyak mengubah mind set saya.

Saya kini faham dimana sebenarnya wang harus digunakan. Tetapi, kesedaran saya seorang tidak mampu untuk membantu rakan-rakan seusia yang lain.

Rata-rata berpendapat, “Buat apa bisnes, tu semua kerja-kerja orang tua. Kita yang masih muda, bila lagi hendak enjoy (bak kata putri: Kita Enjoy!). Kalau sibuk bisnes, rugila waktu muda kita, hidup hanya sekali”

Lain-lain pula memberitahu, “Money is not important to me. Yang penting kegembiraan untuk bekerja nanti.”

Tambah lagi, ada yang berpendapat,”Bisnes kau dah maju, tukarlah kereta, carilah awek sorang (haha,dalam proses), apa lagi, melancongla…”

Saya tidak salahkan mereka sebab seperti teori Abraham Maslow, pada usia seperti saya, kekayaan bukanlah prioriti utama.

Yang saya pasti, rakan seusia saya sedang sibuk memikirkan kerja dan juga kahwin. Hoho.

Berbalik kepada topik kita, dalam tempoh 4 tahun ini, saya sudah bertemu ramai juga jutawan dalam bidang masing-masing. Dan hampir kebanyakan dari mereka hidup secara besederahana.

Ya saya akui, yang hidup mewah-mewah pun ada. Tetapi, itu tidak salah kerana, mereka bermewah tetapi kekayaan mereka terus bertambah.

Akan tetapi, kehidupan kita hari ini jauh telah berubah. Tidak semestinya kita harus mengikut apa yang ditayangkan didrama tv untuk membolehkan kita digelar kaya. Tidak semestinya kita harus memakai apa yang selebriti pakai, barulah kita layak digelar kaya.

Yang mengarang,
W.M.Syazwan