Hello pembaca SaifulSham,

Saya telah lama berdiam untuk tidak menulis mengenai ini. Ironinya, saya akan menulis tips-tips perniagaan internet dan apa jua informasi berkaitan perniagaan dan keusahawanan.

Saya harap dengan pengaruh blog ini, saya sedikit sebanyak membantu sebilangan masyarakat agar sedar akan perkara yang sedang melanda anda ketika ini.

Hampir setiap kali saya pergi sembahyang jumaat, kereta saya akan dicemari oleh risalah berwarna kuning yang kononnya menunjukkan sebilangan orang telah kaya hasil dari perniagaan internet. Risalah ini juga tersebar dimerata-rata tempat (saya masih ingat di surau Berjaya Times Square pun bersepah-sepah).

Saya tidak berhasrat membuat kecaman, tetapi perkara ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran orang ramai (terutama yang tidak tahu langsung mengenai perniagaan internet) bahawa perniagaan internet adalah perniagaan berbentuk MLM semata-mata.

Saya benar-benar tidak senang apabila orang menganggap seminar saya dengan perniagaan berbentuk sebegitu. Sudah ramai sebenarnya bertanyakan saya terutama orang yang lalu-lalang di depan dewan seminar saya. Mereka seakan-akan keliru dengan istilah perniagaan internet.

Itu masih boleh dimaafkan (walaupun saya geram).

Tetapi sedihnya, orang yang mempromosikan MLM internet ini sebenarnya tidak tahu pun apa itu perniagaan internet. Mereka menggunakan istilah e-wallet tetapi mereka sendiri tidak tahu bagaimana e-wallet itu sebenarnya dan bagaimana ia berfungsi.

Mereka menyuruh orang menjadi ahli dan membuka seberapa banyak kedai diinternet (store) tetapi mereka tidak langsung mengajar memasarkan laman web tersebut. Jadi, apa tujuan kedai (store) itu wujud? Apa tujuan barangan itu diletakkan di laman web?

Satu lagi kesalahan yang nyata, anda akan diberikan subdomain untuk kedai-kedai tersebut. Apakah laman web subdomain boleh menjual? Ia sama sekali tidak profesional.

(Untuk anda yang masih tidak tahu apakah subdomain, ia adalah umpama seorang bapa dan seorang anak. Jika anda mempunyai laman web www.abc.com, ini adalah bapa.

Dan jika anda membina laman web dengan alamat seperti www.selamattinggalpenipu.abc.com, ini adalah anak kepada bapa tadi ).

Laman web subdomain kini sudah tidak diiktiraf untuk menjual (kebanyakan pakar internet akan setuju dengan saya)

Saya tidak pernah lihat tukang promoter MLM internet ini menceritakan bagaimana membina perniagaan global dalam erti kata sebenar. Tidak ada satupun diceritakan teknik-teknik memasarkan kedai (store) anda diinternet. Jika tidak ada marketing, bagaimana boleh membuat duit daripada laman web?

Kaedah yang saya nampak MLM ini membina wang adalah dengan menarik ahli (downline). Barangan di store tidak sedikitpun dijual. Malah boleh dikatakan tidak disentuh pun.

Golongan yang mempromosikan MLM internet (kononnya) tadi tidak tahu pun urusan transaksi diinternet. Jika tidak ada transaksi di laman web, bagi saya itu bukan perniagaan internet. Transaksi mereka lebih kepada transaksi menarik ahli semata-mata.

Jika anda menyertai sesi briefing mereka, selalunya mereka akan mengaitkan kekayaan jutawan internet seperti Bill Gates, pengasas Amazon, eBay dan ramai nama jutawan internet.

Jadi, orang akan terpengaruh apabila mereka mengaitkan dengan nama-nama jutawan internet seperti ini. (Jika anda pernah mendengar mereka menyebut nama Team SaifulSham dalam function mereka, ketahuilah bahawa kami tidak pernah terlibat dengan kegiatan mereka).

Masalahnya, jutawan-jutawan yang disebut itu tahu apa yang mereka lakukan. Mereka mempunyai perniagaan sendiri, menjual produk/servis, tahu memasarkan laman web, tidak mempunyai laman web subdomain!.

Pada saya, jika ada orang mempromosikan anda perkara seperti ini, hentikan dari mendengar kepada mereka. Bunyinya agak kasar (ya, sebab saya terpaksa bersuara), tetapi itulah hakikatnya.

Untuk membuktikan mereka ini tidak tahupun apa itu perniagaan internet, anda tanyalah mereka soalan-soalan berkaitan pemasaran perniagaan internet. Soalan paling mudah: Apakah itu domain name, apakah itu hosting?

Jika mereka boleh menjawab soalan itu, tidak bermakna lagi mereka hebat dalam apa yang diperkatakan mereka. Teruskan bertanya (jangan takut sebab jika benar mereka berjaya dalam perniagaan internet, soalan-soalan berkaitan dengannya seharusnya perkara kecil bagi mereka).

Tetapi, jika mereka tidak tahu pun jawapan untuk soalan ini, senang sahaja, angkat kaki, berlarilah sejauh mungkin.

Tetapi mengikut pengalaman saya, mereka ini akan tidak dapat menjawab hatta soalan mudah. Saya ingin kongsikan pengalaman saya pada tahun lepas. Ketika itu di Pesta Konvokesyen di universiti saya, Bitol telah mengajak saya untuk pergi ke sebuah booth syarikat yang kononnya adalah perniagaan internet.

Hebatnya pelan syarikat ini, dalam masa 3 tahun anda sudah boleh menjadi jutawan tanpa berbuat apa-apa. Ketika itu mereka sedang rancak menarik ahli, dan ketika saya sampai di meja, pelajar lain disekeliling memberi ruang kepada saya untuk bertanya (tiba-tiba, hero kita telah datang! :razz: ). Mereka tahu, hanya Team SaifulSham sahaja boleh berbicara secara direct mengenai perkara ini.

Saya hanya tanya soalan mudah sahaja. Adakah ahli-ahli akan membuat marketing jika menyertai syarikat mereka. Mereka cakap ya.

Saya sambung lagi, jika ya bagaimanakah konsep marketingnya? PPC, blog, etc..

Beliau mula menggelabah dan kemudian memanggil uplinenya untuk menjawab (padahal tadi dialah yang paling hebat berbicara).Uplinenya juga termanggu-manggu dengan soalan saya, dan kemudian beliau memberitahu saya boleh dapatkan maklumat lanjut dengan pergi ke pejabatnya.

(Maka, saya pun mengucapkan terima kasih dan berundur)

Sebenarnya, MLM itu langsung tidak bersalah. Dan saya tidak pernah mengharamkan istilah MLM kerana itu memang satu cara yang sah untuk membuat wang. Tetapi apabila sesetengah pihak yang menggunakan MLM sebagai alat, ia sedikit sebanyak memburukkan nama industri MLM.

MLM internet sekalipun, jika benar menjalankan perniagaan internet, ia masih perlu untuk menjual barang (disamping menarik ahli), masih perlu belajar teknik marketing diinternet.

Begitupun, saya sedar, untuk meletakkan kesalahan fatal kepada tukang MLM internet tersebut pun bukanlah sesuatu yang baik. Apa yang saya perhatikan, orang yang tamak dan ingin cepat kaya sahaja yang mudah terpengaruh dalam dakyah-dakyah MLM internet tersebut.

Dan, ramai juga orang yang tidak tahu pun apa itu perniagaan internet kerana ilmu mereka masih cetek mengenainya.

Dengan tulisan kali ini, saya berharap, sebelum anda menyertai mana-mana syarikat MLM berasaskan internet, siasatlah dahulu syarikat tersebut. Cara paling mudah adalah dengan pergi ke mana-mana forum diinternet yang membincangkan mengenai program MLM tersebut.

Dapatkan dari berbagai sumber. Jangan hanya mendengar si tukang promosi MLM internet itu sahaja. Sebab memang mereka akan menceritakan cerita indah sahaja untuk anda. Anda hanya akan disajikan dengan bukti pendapatan mereka, gambar kereta mewah mereka, rumah besar mereka, dan macam-macam lagi cerita kayangan.

Sekian,

Yang bencikan perniagaan internet palsu,
W.M.Syazwan