Hello pembaca SaifulSham,

Jika anda biasa dalam dunia saham mahupun mungkin Forex, terma seperti “Exit Strategy” adalah terma biasa. Ye tak?

Sebenarnya terma “exit strategy” boleh digunakan dalam banyak situasi dalam dunia ini. Tidak hanya tertumpu pada pelaburan saham.

exit strategy

Untuk pemahaman yang lebih jelas buat anda yang masih samar-samar akan maksudnya, “exit strategy” bolehlah dimaksudkan dengan waktu untuk anda melangkah keluar dari melakukan sesuatu perkara.

Selalunya, tujuan kita melakukannya adalah untuk meraih sesuatu yang baik dan mengelak sesuatu yang buruk atau lebih buruk berlaku.

Saya rasa, saya sukakan jika saya berikan contoh ini dalam dunia nyata.

Anda menyukai anak Pak Abu, si Salmah. Tetapi, Salmah (bukan nama sebenar) ini terlalu jual mahal kepada anda. Berbagai-bagai cara digunakan anda untuk memikat Salmah, tetapi masih gagal.

Sebenarnya, untuk kes ini, selain dari menggunakan bomoh (yang haram disisi agama), salah satu kaedah terbaik adalah anda pergilah cari yang lain. Mengapa perlu menghabiskan masa dan tenaga anda sedangkan si Salmah langsung tidak memandang pada anda.

Jadi, setelah banyak-banyak strategi digunakan anda untuk memikat Salmah, perlu ada Exit Strategy. Jika anda terus berusaha sampailah si Salmah berkahwin dengan orang lain, itu namanya anda terlalu mengharap. Hanya Mat Romeo sahaja yang sanggup berbuat begitu. :grin:

Exit Strategy yang awal (setelah melihat tanda anda memang tidak akan berjaya sampai bila-bila) boleh mengelakkan anda dari luka parah atau lebih teruk frust menonggeng berbulan-bulan lamanya. :cool:

Dalam perniagaan internet juga, kaedah “exit strategy’ boleh digunakan dalam beberapa situasi. Pertama, selepas anda membina laman web, dan selepas anda mencuba berbagai-bagai teknik promosi, mendapatkan nasihat yang pakar, tetapi laman web anda masih gagal mencatatkan jualan yang baik.

Caranya, keluar dari perniagaan itu dan carilah perniagaan yang lain. Carilah produk yang lain untuk dijual. Tidak ada gunanya juga jika selepas setahun berusaha sampai tidurpun tidak lena, tetapi anda masih gagal.

Sebab, jika anda tidak mempunyai “exit startegy”, besar kemungkinan anda akan mengalami kerugian yang lebih besar. Sama ada kerugian itu datang dari masa dan usaha mahupun wang ringgit.

Kerugian yang tidak dapat digantikan dengan wang adalah kerosakan emosi. Emosi anda akan lebih terganggu jika perniagaan internet anda gagal. Dan jikalah emosi anda terganggu, anda mungkin tidak mempunyai selera dan nafsu untuk meneruskan lagi perniagaan internet.

Baik, itu kaedah yang jika situasi anda buruk. “Exit Strategy” juga boleh digunakan hatta situasi anda yang baik. Contohnya, jika anda membina sebuah laman web perniagaan, dan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan.

Lambat laun, jika pulangan yang diberikan sungguh lumayan, anda mempunyai sebab untuk menjual laman web anda kepada orang yang berminat.

Sebagai contohnya membina laman web yang memfokuskan Adsense. Jika setelah anda menghasilkan lebih USD 100 sebulan selama setahun berturut-turut, fikirkan kembali. Anda sebenarnya mempunyai sebab untuk menjual laman web itu pada harga USD 2000.

Jika anda fikirkan cara orang-orang kaya berfikir, mereka sudah tahu bagaimana untuk mendapatkan USD100 sebulan itu. Jadi, tidak rugi jika mereka menjualnya dengan USD 2000 kerana mereka boleh membina yang lain.

Mungkin mengikut pemahaman anda, USD 2000 itu mampu dicapai dalam tempoh 20 bulan jika pendapatan Adsense anda kekal USD 100 sebulan. Apakah yang lebih baik, menunggu 20 bulan untuk meraih USD 2000 atau menunggu hanya sehari untuk menjualnya dan meraih USD 2000.

Dengan USD 2,000 anda mempunyai modal yang besar ditangan untuk memulakan sesuatu yang lebih besar.

Fikir-fikirkan “Exit Strategy” anda.

W.M.Syazwan