Hello pembaca SaifulSham,

Saya sebenarnya ada perkara lain untuk diceritakan untuk pos kali ini (mengenai perniagaan internet), tetapi saya agak kecewa apabila ramai rakan saya terpedaya untuk menjadi OKB (Orang Kaya Baru) dengan membuat pelaburan yang tidak diketahui diinternet.

Oleh sebab kami sedang menjalani industrial training, mungkin ramai daripada rakan saya tidak dapat berjumpa saya untuk memberikan nasihat kepada mereka (jika diuniversiti, saya banyak membantu mereka dalam hal perihal internet).

Minggu lalu sahaja, saya menerima tidak kurang 3 sms daripada rakan-rakan yang menjalani industrial training di tempat lain meminta pendapat saya akan pelaburan entah apa-apa.

Masalahnya, staff di tempat kerja merekalah yang cuba mencocok-cocok mereka menyertai program tersebut. Walhal, mereka (staff tersebut) semua adalah jurutera berpengalaman dan berpelajaran tinggi.

Tidak cukup dengan itu, saya mendapat tahu, hatta rakan saya yang top scorer (setiap semester dean list) pun turut terjebak. Bertambah buruknya, ibubapa mereka pun diheret menyertai kancah pelaburan yang tiada jaminan.

Itu baru lingkungan rakan-rakan sebaya saya. Saya berfikir, mungkin diluar sana, musibahnya lebih besar. Saya tahu ianya pasti lebih besar kerana dimana-mana saya bercakap mengenai perniagaan internet, ada sahaja yang mengaitkan cakap-cakap saya dengan pelaburan internetlah, MLM lah dan bermacam-macam skim yang saya sendiri tidak tahu kewujudannya.

Fenomena ingin cepat kaya. Apa pandangan Team SaifulSham?

Saya sebenarnya sudah lali untuk bercakap mengenai perkara ini. Tetapi, disebabkan hampir setiap minggu ada sahaja saya mendengar orang-orang yang terkena, saya perlu menggunakan pengaruh blog ini untuk menjawab kekeliruan ramai orang.

Ramai sebenarnya berkali-kali meminta pandangan kami mengenai situasi ini. Jadi, biarlah saya menjawabnya, tolonglah jangan sertai mana-mana program pelaburan diinternet.

Bagi saya, kalau benarlah program tersebut membuatkan orang cepat kaya, Warren Buffetlah orang pertama akan melaburnya. (Warren Buffet adalah orang kedua terkaya didunia dengan kekayaan daripada pelbagai jenis pelaburan).

Dan saya cukup benci apabila orang-orang kuat program pelaburan diinternet menyalahgunakan quote-quote seperti:

“Hanya orang yang berani mengambil risiko sahaja akan berjaya”

“Orang lain buat duit, anda buat alasan”

“Money can make money”

Semuanya untuk menarik orang lain turut terjebak dengan program pelaburan mereka.

“Baik, jika ya program tersebut adalah scam, senaraikan”

Baik, senang sahaja, apa sahaja pelaburan diinternet itulah dia. Itu jawapan ringkas saya.

“Aku sudah kaya dengan program tersebut, apa lagi bukti yang anda mahu?”

Saya ingin anda menghantar proposal ke Bank Negara untuk meluluskan program tersebut di Malaysia secara sah atas alasan, anda sudah menjadi jutawan. Disebabkan anda menggunakan quote diatas untuk menarik ahli, maka, sebagai orang ‘berjaya’, anda harus berani mengambil risiko untuk menghantar proposal ke Bank Negara.

Bawalah ‘syarikat’ program tersebut ke Malaysia, beroperasilah dengan lesen. Maka, akan lebih ramai jutawan di Malaysia, makin makmurlah ekonomi negara kita. Dan, sayalah orang pertama akan menyertainya jika ia mendapat lesen yang sah.

“Pengurus Bank **** pun masuk, Dato’ XYZ pun masuk, Tan Sri !@@ juga masuk, apa lagi mahu dibuktikan?”

Satu pernyataan paling tidak bijak. Taktik ini sudah banyak dilakukan oleh orang-orang MLM palsu. Mereka akan menggunakan nama orang berpengaruh untuk mengajak anda menyertai program pelaburan mereka.

Walhal, ia hanya daripada mulut mereka sahaja. Tidak ada bukti jelas orang-orang berpengaruh menyertai program mereka. Senang sahaja, tanyalah mereka, “Apakah bukti orang-orang tersebut masuk?”

Jawapan yang biasa akan didengari anda adalah…

“Si Abu cakap…

“Adalah, bapa saya kawan baik dia….

“Memangla dia masuk, aku sendiri tengok dia join seminar….

“Janganlah anda bising, kalau ya pun, pergilah membantah KWSP, ASB. Mereka lagilah haram”

Jawapan ini sebenarnya diberikan semata-mata untuk menghalalkan pelaburan mereka. Apabila kita mengajukan soal haram, mereka akan membangkitkan perkara ini.

Apabila perkara ini dibangkitkan, maka adalah lebih baik kita berundur daripada berbalah dengan mereka. Sebabnya, mereka sudah pasti tidak dapat dinasihat lagi.

Ucapkan Salam Jutawan dan berlalulah pergi.

Seperkara lagi, senang sahaja untuk mengenal orang-orang seperti ini, mereka selalunya terdiri daripada orang-orang yang pernah menceburi bidang autosurf (satu ketika dahulu) dan orang yang sudah banyak portfolio pelaburan diinternet sebelum ini.

Jalan penyelesaian:
Saya tidak nampak jalan penyelesaian yang total. Saya sudah kenal skim cepat kaya sejak dari kecil lagi. Seperti mana kita berevolusi, skim ini juga berevolusi mengikut zaman.

Internet adalah satu cara paling mudah untuk mengembangkan program pelaburan skim cepat kaya. Senang untuk menyorok dan senang untuk melesapkan duit anda.

Kejahilan dalam ilmu kewangan dan perniagaan adalah satu sebab mengapa ramai rakyat Malaysia menceburi pelaburan diinternet. Tidak hairan, ada ustaz, pensyarah, jurutera, lawyer, malah rakan saya yang top scorer menyertainya.

Mengikut pandangan saya, kita mungkin boleh membantu rakyat Malaysia yang lain dengan menghindarkan diri daripada skim-skim entah apa-apa ini.

Caranya, kita kutip dana sedikit daripada setiap orang, dan gunakan dana itu untuk memberikan informasi kepada rakyat Malaysia. Informasi bolehlah melalui pamplet, ebook, atau apa jua bentuk media.

Dan, gunakan dana itu untuk memasarkan informasi tersebut. Salah satunya dengan menempah iklan diakhbar atau akhbar online.

Untuk tujuan ini, Team SaifulSham akan menyediakan satu lagi report revise edition mengenai skim cepat kaya dalam masa terdekat ini.

Sekian.