Hello pembaca SaifulSham,

Saya sempat berbual-bual berbincang isu bisnes dengan ahli keluarga semasa pulang hari raya lalu di Kota Bharu. Salah seorang daripadanya menjalankan perniagaan agensi pelancongan. Oleh kerana syarikatnya adalah tergolong antara 10 syarikat yang diberi lesen Tabung Haji untuk menghantar jemaah haji (selain diuruskan Tabung Haji sendiri), syarikatnya saban tahun mengalami kos luar jangka.

Tahukah anda, sebenarnya, walaupun Tabung Haji menetapkan harga sekian-sekian untuk jemaah, mereka mungkin belum tentu untung. Sama hal juga dengan syarikat yang diberikan lesen menguruskan haji. Bisnes menguruskan jemaah haji ke Arab Saudi akan sentiasa mengalami kejutan saban tahun. Contohnya, kerajaan Arab Saudi menambah caj-caj secara tiba-tiba.

Hal seperti ini tidak dapat dielakkan. Menurut ahli keluarga saya lagi, bisnes agensi pelancongan tidaklah untung sebesar mana, kalau dapat 15 peratus pun sudah dikira cukup baik.

Baiklah, saya tidak mahu menyentuh lanjut akan bisnes pelancongan (sebab bukan bidang saya,huhu) tetapi saya ingin menekankan perlunya anda memasukkan kos luar jangka dalam harga produk anda.

Kos luar jangka ini adalah sebagai satu dana yang bersedia digunakan jika apa-apa terjadi pada perniagaan anda. Kos luar jangka termasuklah kenaikan harga bahan mentah secara tiba-tiba, harga minyak ke, atau apa-apa jua yang boleh menggoncangkan perniagaan anda secara tiba-tiba tanpa anda jangka (dah nama pun luar jangka).

Katakanlah, keadaan luar jangka itu tidak terjadi kepada perniagaan anda. Jangan gunakannya sebagai keuntungan anda. Simpanlah sebagai sebuah dana yang sedia untuk digunakan jika keadaan luar jangka itu berlaku.

Untung adalah untung. Lain.

Sekurang-kurangnya peruntukkan sekitar 5 peratus sebagai kos luar jangka. Ia mungkin tidak berlaku sekarang tetapi seakan-akan sebuah insurans, ia pelindung perniagaan sekiranya terjadi keadaan yang tidak diingini tersebut.

Dalam konteks perniagaan internet pun, jangan dikatakan tiada kos luar jangka. Katalah anda menyewa rumah dan menjalankan perniagaan internet dirumah. Tahu-tahu bulan depan tuan rumah memberitahu anda bahawa beliau hendak naikkan sewa. Kalau merungut boleh keluar kerana ada penyewa lain berminat.

Jika anda tidak bersedia, ia sedikit sebanyak menjejaskan kualiti kerja anda dan menganggu perjalanan perniagaan anda.

Yang benar,
W.M.Syazwan