Hello pembaca SaifulSham,

Sebenarnya, saya dan Sabri baru sahaja cuba bergiat aktif dalam pelaburan saham. Selepas lebih berbulan-bulan lamanya membaca berbagai jenis buku pelaburan saham dan membaca laporan-laporan ekonomi seperti The Edge, The Edge Financial Daily dan macam-macam lagi laporan, kami berkeputusan untuk membuat langkah pertama secara serius.

stock market

Dahulu, selepas SPM, saya meletakkan pelaburan dalam IPO (Initial Public Offering) dengan 100 peratus diuruskan bapa saya. Tetapi, sifat ingin tahu dan mencuba membuatkan kami berdua cuba untuk belajar bagaimana pula bermain saham indeks berbanding IPO.

Dahulu, saya tidak pandai membaca senarai panjang pergerakan saham sehari setiap syarikat dalam akhbar. PE ration pun tidak tahu, 52 Weeks Low-High pun tiada idea dan macam-macam lagi.

Mencuba dengan pelaburan yang sedikit dan berkat sedikit ilmu yang ada, kami membuat keuntungan yang ok-ok sahaja. (Yalah, jumlah pelaburan pun bukan banyak, saja test power).

Tetapi, selepas diketahui bapa saya, lantas beliau melarang saya bermain saham. Mulanya, saya tidak tahu sebab-sebab kukuh, tetapi ini nasihat beliau kepada saya.

Bapa saya mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pasaran saham. Beliau pernah mengambil bahagian dalam pengurusan pelaburan bagi syarikat pelabuhan semasa bekerja sebagai akauntan dahulu. Beliau sendiri memberitahu, bukan senang untuk membuat pelaburan dalam saham tambah-tambah lagi saya hanyalah pelabur kecil (runcit).

Katanya, kami hanya membazir masa untuk membuat market research, membuat kajian, dan belajar semua benda sedangkan jumlah pelaburan kami tidak besar.

Beliau lebih menyarankan kami menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan internet yang lebih lumayan.

Apabila saya fikirkan, ada beberapa pro dan kontra.
Pronya, kami dapat belajar dengan praktikal bagaimana bermain saham.

Kontranya, ya betul, kami membazir begitu banyak masa hanya untuk membuat study mengenai saham. Keuntungan memanglah ada, tetapi jika dibahagikan dengan masa untuk membuat keuntungan tersebut, ia tidak langsung berbaloi berbanding perniagaan internet.

Katanya lagi, beliau mempunyai ramai kawan yang mengajaknya bermain kembali saham. Semuanya bercerita seolah-olah mereka pakar. Mereka tahu bila market akan naik, mereka tahu fundamental dan macam-macam. Tetapi seperti biasa, ada antara mereka bila disuruh belanja minum kopi pun tidak mampu.

Kata bapa saya lagi, ya kami mungkin boleh mengaut keuntungan tetapi, pasaran saham bukan sesuatu yang boleh dijangka dengan tepat. Walaupun banyak indicator-indicatornya, ia bukanlah satu petunjuk jelas kita akan menjadi kaya melalui pelaburan saham.

Bagi kami, bila difikirkan kembali. Ada benarnya perkara ini. Kami hanyalah pelabur runcit. Senang sahaja untuk dimakan pelabur institusi ataupun pelabur gergasi (yang membuat pelaburan berjuta-juta ringgit).

Jelas bapa saya, keuntungan memanglah agenda semua pelabur tetapi selepas diambil kira masa untuk membuat kajian, jumlah keuntungan tidak berpadanan dengan masa yang telah terbuang.

Mungkin anda yang melabur dalam pasaran saham mempunyai pendapat berbeza. Tetapi, apa yang kami pelajari, lebih baik masa itu digunakan untuk mempelajari selok belok perniagaan mahupun hartanah.

Jadi, nasihat ini mungkin juga sesuai buat anda untuk pelabur ikan bilis seperti kami.