Hello pembaca SaifulSham,

Sehingga hari ini, sudah banyak jenis buku mengenai pasaran hartanah yang telah di’khatam’ saya. Ada banyak versi pelaburan tetapi yang paling popular adalah menyewa rumah, apartmen, kedai serta menjual tanah.

Ketika anda belajar mengenai pelaburan hartanah, jangan sempitkan pemikiran anda terhadap satu cara sahaja. Kaji lain-lain jenis pelaburan hartanah. Pelaburan hartanah sebenarnya terlalu luas.

Ada orang membeli bangunan dan di’sewa’kan pada burung layang-layang (burung layang-layang membayar sewa dengan memberikan sarang burung). Ada orang membeli rumah untuk disewakan kepada golongan yang tidak mampu membeli rumah.

Ada orang yang bermodal besar, membina sendiri sederet rumah dan menjualnya. Ada orang membeli rumah ketika tidak siap dan menjualnya kembali ketika sudah siap (value meningkat).

Macam-macam.

Pasaran hartanah sebenarnya bergantung kepada lokasi anda melabur. Kita harus faham ada banyak sebab yang akan mempengaruhi kadar keuntungan anda tetapi lokasi dimana anda melabur akan menentukan, apakah jenis pelaburan hartanah yang sesuai.

Jika anda tinggal di Kuala Lumpur, mana mungkin mampu untuk membuat kaedah seperti bapa saya, iaitu membeli tanah dan menjualnya selepas memecah lot. Sebabnya, harga tanah di sana pun sudah berjuta-juta ringgit.

Sebab itu ramai orang yang tinggal di ibukota lebih memilih untuk melabur dengan membeli rumah dan menyewakannya.

Sama halnya apabila anda melabur seperti bapa saya dengan membeli tanah di Pahang dan Kelantan adalah berbeza. Walaupun harga tanah di kedua tempat ini masih boleh dikatakan mampu milik, tetapi proses kelulusan memecah lot dari jabatan tanah pula akan menentukan bila anda boleh menjual tanah tersebut.

Jika 2 tahun, 2 tahunlah. Jika 4, 4 lah. Ini perkara biasa terjadi jika anda aktif membeli tanah dan memecah lot. Jika hendak cepat, cucuk sikit duit (tetapi cucuk pun cepatnya tidaklah secepat mana).

Sama halnya juga menyewakan bangunan kepada burung layang-layang. Jika anda membeli kawasan persekitaran yang kotor seperti berhampiran kilang industri, mana mungkin burung layang-layang akan memberikan sarang yang terbaik.

Sama hal juga dengan membeli rumah dan menjual apabila sudah siap. Perkara ini mungkin sesuai di kawasan seperti Lembah Klang tetapi ia agak berisiko di kawasan seperti di Pantai Timur (bergantung).

Jadi disini, pelaburan hartanah kekal satu perkara yang luas. Pada akhirnya, yang memberi keputusan untuk melabur adalah anda sendiri. Dan ia bergantung pada situasi poket anda pula. Jika besar poketnya, bolehlah melabur tempat yang cantik-cantik sedikit.

Jika kecil poketnya, bolehlah bermula dengan tempat-tempat berkos rendah.

P/S: Atas sebab keselamatan, gambar hartanah yang dijanjikan saya sebelum cuti raya tidak dapat saya tunaikan. Terima kasih.
W.M.Syazwan