Hello pembaca SaifulSham,

Jika benar wujudnya teko Aladdin, dan jikalah Aladdin itu akan menunaikan satu sahaja permintaan, nescaya orang yang menemuinya akan meminta supaya hidupnya senang lenang sehingga 7 keturunan atau orang itu akan meminta hidupnya bahagia sampai bila-bila.

Kalaulah saya yang menemuinya, saya akan memilih untuk hidup senang lenang. Pertama, sebabnya dengan hidup yang senang lenang itulah saya akan gunakan untuk memberikan kebahagian kepada saya, keluarga dan orang sekeliling.

Berbalik kepada dunia realiti, hakikatnya perkara itu hanya wujud dalam filem.

Kali ini saya ingin menyentuh tentang sikap yang ada dalam kebanyakan orang yang membuatkan mereka tidak kaya-kaya iaitu sentiasa menyalahkan orang lain atau keadaan sekeliling.

Sebagai contohnya:
Jika peperiksaan dapat markah rendah ————disalahkan guru yang tidak bagus.

Jika kerajaan membekukan transaksi duit bermain skim cepat kaya —–disalahkan kerajaan menyekat orang menjadi kaya.

Jika pasaran saham jatuh menjunam—-disalahkan spekulator.

Jika pelaburan hartanah gagal——–disalahkan buku hartanah yang dibacanya.

Jika gaji tidak naik —disalahkan majikan kerana tidak menghargai pekerja.

Oleh itu, dalam semua keadaan, orang lain sahajalah yang salah dan apa yang dilakukannya betul. Sebab itulah kita lihat, orang yang selalu menyalahkan orang lain, seumur hidup mereka, hampir tiada satu kejayaan membanggakan.

Sebenarnya jika diteliti kembali, 99.99% kegagalan atau kesalahan dilakukan oleh tuan empunya badan dan bukanlah orang lain.

Sebagai contohnya:

Jika peperiksaan dapat markah rendah ————disalahkan guru yang tidak bagus.
Hakikatnya dia pun tidak study mana. Hanya mengharapkan diri untuk disuap.

Jika kerajaan membekukan transaksi duit bermain skim cepat kaya —–disalahkan kerajaan menyekat orang menjadi kaya.
Hakikatnya dia sudah tahu pelaburan sebegitu berisiko besar sama ada wang akan hilang atau kerajaan akan menyekatnya.

Jika pasaran saham jatuh menjunam—-disalahkan spekulator.
Hakikatnya dia membeli saham berdasarkan emosi dan spekulasi semata-mata.

Jika pelaburan hartanah gagal——–disalahkan buku hartanah yang dibacanya.
Hakikatnya dia tidak melakukan study dengan detail.

Jika gaji tidak naik —disalahkan majikan kerana tidak menghargai pekerja.
Hakikatnya dia pun kerja asyik tidur, bercuti lebih had, kerja tertangguh selalu.

Sememangnya ada faktor seperti penyebab kita gagal disebabkan orang lain tetapi adalah baik jika kita mencapai kegagalan adalah mencari kelemahan diri sendiri.

Jika orang lain sahaja yang selalu bersalah, besar kemungkinan kita tidak akan mengubah apa yang dilakukan kita, dan kesalahan dan kegagalan akan terus berulang dan berulang. Dan kita masih terus mengulang bahawa orang lain yang bersalah!

Dalam aspek kekayaan, lagi cepat kita belajar kesalahan kita, lagi cepat kita akan menjana kekayaan kerana kita sudah tahu apa yang betul dan apa yang salah.

Kita tidak boleh mengharap teko ajaib Aladdin membantu kita, tetapi dengan mengakui kesalahan diri sendiri, ia sebenarnya alat bantuan untuk kita cepat tersedar bahawa kita sedang melakukan perkara yang salah dan bukan orang lain.

Oh, alangkahnya indah kalau ada Aladdin.

W.M.Syazwan