Beberapa bulan lepas, saya telah membeli sebuah baju kemeja di sebuah pasaraya yang namanya agak dikenali di Malaysia. Waktu itu, saya membelinya untuk keperluan memakainya ketika dalam seminar.

Mata tertarik dengan perkataan DISKAUN 50%. Wah, sudah separuh harga. Maklumlah ketika itu diadakan musim potongan harga tahunan. Jadi, setelah memilih baju yang berkenan saya membayarnya seperti biasa.

Dalam beberapa minggu lepas, kebetulan saya mencari tali leher. Dan kebetulan saya merayau dan terserempak dengan baju kemeja yang saya beli dahulu. Ya, dengan yakin, itulah baju yang sama yang pernah beli dahulu.

Otak pun dah mula merasa curiga.

“Aik, kenapa pula harganya sama ja macam hari tu sedangkan hari ni, tiada satupun perkataan diskaun”.

Lantas setelah pulang, saya cuba berfikir lagi. Mungkin inilah yang dikatakan satu taktik bagaimana pasaraya membuat untung yang besar, iaitu mengistiharkan diskaun palsu.

Rupa-rupanya, pada waktu dahulu ketika saya beli, pasaraya ini menggunakan taktik meletakkan harga yang sama tetapi mempamerkan promosi diskaun 50%.

Taktik sebegini nampak bijak tapi kalau sudah terkantoi, sudah semestinya saya akan berhati-hati dengan tanda diskaun selepas ini.

Hakikatnya, diluar sana, berapa orang sangat yang sedar taktik begini. Memang agak tidak beretika tetapi itulah dinamakan menggunakan psikologi manusia.

Manusia, apabila sudah nampak tanda harga potongan 50,60,70,80 % sudah semestinya akan mula gelap mata.

Jadi, kesimpulannya, pasaraya tersebut sebenarnya tidakpun membuat diskaun, sebaliknya menjual pada harga yang sama. Cuma mereka mungkin mengeluarkan sedikit kos untuk promosi memberitahu anda bahawa mereka sedang membuat sebuah diskaun palsu!

W.M.Syazwan