Salam Hormat Pembaca Budiman,

Sudah lama saya tidak menulis. Tiada alasan. Sebenarnya nak cakap tiada masa itu mungkin kurang tepat. Sibuk memang betul sibuk, tetapi jika mahu sebenarnya saya boleh sahaja curi sedikit masa untuk menulis. Namun saya rasa saya tidak mempunyai sebab atau mesej yang penting untuk menulis. Jika menulis sekadar kerana perlu menulis, tak bestlah kan? Ia akan membuang masa anda dan juga saya.

Tetapi hari ini saya ada sesuatu yang amat penting dan bernilai untuk dikongsikan. Do read on, sebab anda tahu yang saya tidak akan menulis kalau tidak penting.

Saya menyedari perkara ini (semula) ketika pulang ke kampung di Kuantan. Ibu saudara saya menceritakan perihal sepupu saya dan ia sungguh menyedihkan. Saya mengambil masa berfikir mengenainya semalaman dan hari ini saya akan ceritakan kepada anda pula.

Siapa Yang Anda Cuba Gembirakan?

Kebanyakan orang sekarang lebih suka rumah yang besar, kereta yang bergaya dan lain-lain kehendak material dalam hidup. Hatta jika terpaksa membuat pinjaman yang mengambil masa suku abad untuk dilunaskan pun tidak mengapa asalkan dapat bergaya seperti orang lain (jika tidak lebih hebat).

Kita berlumba-lumba untuk melebihi kawan-kawan kita, atau setidak-tidaknya supaya kelihatan sama dengan orang.

Saya ni asyik bermukadimah sahaja. Sebenarnya saya tak tahu nak mula macam mana supaya anda dapat rasa apa yang saya rasa ketika mula-mula dengar. Malam dah semakin larut. Jadi, saya rasa the best thing adalah saya tulis sebagaimana ia diceritakan kepada saya oleh ibu saudara saya. Ia sedikit peribadi tetapi saya rasa kita semua akan mendapat sesuatu daripadanya.

Pakcik saya ini adalah seorang jurutera (telah diubahsuai untuk melindungi identiti sebenar) yang memiliki firmanya sendiri, manakala makcik saya pula adalah suri rumah. Mereka adalah antara pakcik dan makcik saya yang paling terpelajar (keluarga saya orang kampung, dapat belajar tinggi-tinggi adalah satu pencapaian yang hebat).

Lumrah middle class, mereka tinggal di rumah yang boleh tahan besar dan mempunyai kereta yang okay juga. Anak-anak mereka juga berpendidikan tinggi. Sama seperti saya dan kebanyakan pembaca SaifulSham. Saya masih ingat ketika saya kecil dahulu, makcik saya memberitahu ibu saya di hadapan saya,

“Biarlah anak belajar tinggi-tinggi, kita waktu tua nanti tak ada apa-apa yang boleh diharap melainkan anak-anak kita untuk jaga kita. Anak-anak adalah pelaburan kita.” Kata makcik saya tersebut kepada ibu saya.

(Itu ayat merendah diri. Makcik saya sebenarnya orang senang jugalah.)

Makcik saya juga berpesan kepada saya supaya belajar tinggi-tinggi supaya boleh jaga emak. Seringkali ibu bapa saya menyuruh saya mencontohi pencapaian akademik anak-anak pakcik dan makcik saya itu.

Itu kisah dahulu, ketika saya kecil.

Fast forward ke hari ini.

Sepupu-sepupu saya, anak-anak pakcik dan makcik saya yang tersebut semuanya berjaya-berjaya. Senang-senanglah juga orangnya. Sama seperti kita semua. Ada yang menjadi pensyarah, ada yang menjadi jurutera dan kerja sehingga ke Arab sana.

oldperson

Baru-baru ini, pakcik saya terkena strok.

Sebelah badannya lumpuh.

Beliau tidak dapat berbuat apa-apa. Syarikatnya juga tidak dapat diuruskan sebab hanya beliau yang running syarikat tersebut dan anak-anak beliau tidak terbabit secara langsung (atau ada sebab2 lain, saya tidak tahu).

Jadi apabila syarikat tersebut tidak beroperasi, terhentilah pendapatan pakcik saya.

Saya ingat semuanya okaylah. Lagipun pakcik saya orang yang berpelajaran dan berada. Anak-anaknya pun ramai dan kesemuanya pun berpelajaran. Sudah tentulah beliau mempunyai “safety net” ataupun retirement planning yang telah di atur lebih awal.

Tetapi ini senario yang diceritakan oleh ibu saudara saya mengenai keadaan pakcik saya itu:

1) Keretanya akan ditarik bank kerana telah tertunggak
2) Pinjaman rumahnya pun sudah tertunggak
3) Pakcik saya menangis mengenangkan apa yang telah terjadi apabila dilawati oleh bapa saudara saya.

Kereta kena tarik, saya tak kisah. Tariklah. Pakcik saya ada kereta lain. Tetapi rumah? Saya pelik sebab pakcik saya umurnya sudah 60 tahun lebih. Takkan pinjaman rumah belum habis bayar. Saya bertanya kepada ibu saudara saya, berapa sebulan bayaran pinjamannya. Saya ingatkan banyak, rupanya RM 300 sahaja.

Saya tidak tahu sama ada anak-anak beliau tahu apa yang terjadi. Saya pelik, bukan banyak sangat yang diperlukan. Kenapa anak-anaknya tidak membantu?

Anak-anak tidak tahukah apa yang terjadi kepada ibu bapa sendiri?

Saya sangat sebak, apabila mendengar kisah ini. Selisih malaikat jika ia terjadi kepada saya tatkala tua dan saya mohon supaya saya tidak menjadi seignorant itu.

Ibu saudara saya menambah (dan saya rephrase kan supaya lebih tepat):

“Memanglah RM 300 sahaja nak bayar rumah ayah. Tapi anak-anak semua hidup tak ingat. Kereta nak kereta besar. Rumah beli rumah besar-besar kat KL. Gaji besar, belanja banyak. Semua duit habis ke kereta, anak bini dan rumah. Lupa kat mak ayah.

Cik De (panggilan ibu saudara saya) paling sedih. Ayah We (panggilan kepada pakcik saya) tu dah 60 tahun. Dah terbaring macam tu. Haji tak pergi lagi. Terbaring macam tu, dah sure dah tak akan pergi. Anak-anak dia tak fikir ke nak hantar ayah ngan mak tu pergi Haji dulu, waktu diorang sihat.

Diorang bukan orang susah. Masing-masing kerja senang-senang. Bukannya baru kerja. Dah bertahun-tahun. Adik beradik pulak ramai, tak kan lah tak boleh-boleh nak hantar mak bapak pergi haji lagi.

Rumah tu pun tak kan lah tak boleh selesaikan sendiri. Gilir-gilir ke kalau tak mampu sorang nak bayar. Ini sampai ayah kena menangis macam tu. Sepatutnya dekat akhir-akhir hayat ni tak payahlah ayah dah nak kusut-kusut fikir benda cam ni. Anak dah besar, dah senang. Pandailah uruskan.”

Untuk pengetahuan anda, pakcik dan makcik saya ini selain dari senang, mereka juga bolehlah dikatakan alim juga. Wallahualam. Tetapi dari apa yang saya nampak begitulah. Saya amat yakin, jika mereka ada kemampuan untuk mengerjakan Haji, sudah lama mereka mengerjakan Haji.

Setelah mendengar apa yang ibu saudara saya ceritakan saya rumuskan begini. Ayah We saya dan anak-anaknya nampak sahaja berada. Beliau adalah satu contoh klasik golongan kelas menengah hari ini. Mungkin Ayah We saya membelanjakan banyak wang untuk menyekolahkan anak-anak beliau sebelum ini. Mungkin sebab itulah beliau tidak mempunyai simpanan wang persaraan yang mencukupi.

Untuk kredit sepupu-sepupu saya, mereka sebenarnya bukanlah golongan yang ignorant. Mereka juga bukanlah jahat macam selalu digambarkan drama-drama TV sebagai anak tidak mengenang jasa. Pada saya, mereka juga adalah klasik kelas menengah di negara kita hari. Di samping itu mereka juga tidak sangka ibu bapa mereka sebenarnya tiada simpanan juga, sebab mereka lihat semuanya okay.

Ini Lesson Learnt Yang Saya Pelajari & Saya Cuba Ingat Sampai Bila-bila:

1) Sentiasa bantu ibu bapa atau sesiapa sahaja yang memerlukan (terutama yang rapat dengan kita) walaupun mereka tidak meminta. Mungkin mereka segan dengan kita, tetapi sebenarnya sangat-sangat memerlukan bantuan.

Kadang-kadang kita terlepas pandang. Kalau Cik De saya tidak bercerita mengenai Ayah We saya, saya pun tidak tahu. Tahukah anda kemungkinan ibu bapa anda yang anda rasa senang itu, tidaklah senang rupanya?

2) Rumah, tidak boleh nak elak. Kita perlu. Tetapi kereta baru tidak perlu. Selagi tanggungan kita masih ada, pakailah kereta sekadarnya yang mampu. Lagi baik jika beli kereta 2nd hand cash dan gunakan wang peruntukan untuk bayar pinjaman tersebut untuk menggembirakan orang-orang yang rapat dengan kita.

RM 800 untuk pembayaran kereta tersebut, boleh membuatkan sekurang-kurangnya EMPAT orang yang kita sayang gembira.

Adakah kita nak menggembirakan hati orang yang kita tak kenali dan berjumpa di lampu isyarat selama 5 minit dengan kereta kita yang lawa atau kita hendak menggembirakan hati orang yang kita sayang?

Doa-doa empat orang yang tersayang tadi lebih mudah dimakbulkan Allah, sudah tentunya mereka akan bersyukur dan mendoakan anda lebih murah rezeki dengan bantuan anda. Ini adalah short cut kepada kejayaan yang lebih lagi.

Memanglah, lebih bagus jika kita dapat melakukan kedua-duanya sekali. Berkereta mewah seperti orang lain dan juga membantu mereka yang memerlukan. Namun yakinkah kita bantuan kita itu mencukupi, dan kita telah membantu semua yang layak dan kita tidak terkhilaf dalam penilaian kita?

Sama-sama kita renung sejenak.

Point saya:

Bayar cash kereta 2nd hand, gunakan bajet untuk bayar kereta itu untuk menggembirakan mereka yang kita sayang. Saya tak mahu bercakap pasal kepentingan retirement planning dan kepentingan sistem dalam bisnes. Ia obvious. Anda dapat lihat kemalangan yang terjadi. Ia mungkin berlaku kepada kita juga.

Permintaan Saya: Ini kisah benar yang terjadi kepada sanak saudara saya. Saya ceritakan 100% tanpa pengolahan sebab saya tak tahu macam mana nak ceritakan tetapi pada masa yang saya memberi impak yang mengesankan. Jadi saya cerita as it is supaya kita sama-sama dapat pengajaran darinya.

Elakkan dari mengkritik watak-watak dalam cerita ini walau apa pun pendapat anda. Anda boleh mengkritik saya, tetapi jangan mengkritik mereka. Mereka mungkin terlepas pandang.

Anda digalakkan berkongsi lesson learnt di ruangan komen dan apa yang anda dapat dari kisah ini, tetapi sekali lagi saya minta, jangan mengkritik sama ada pakcik saya ataupun sepupu-sepupu saya. Yang dah lepas dan terjadi kita tak boleh ubah. Kita hanya boleh belajar supaya ia tidak terjadi kepada kita.

Yang Sebak,

Sabri