Fuhh, nampaknya dah berhabuk rupanya blog ni.

Saya menunggu Sabri untuk update (sebab dia dah janji semenjak 2 minggu lepas lagi untuk tulis satu pos baru) tetapi nampaknya, Sabri tak menulis hatta walau sepatah pun.

Tak mengapalah, mungkin saya yang perlu membuat inisiatif menulis. Hari ni saya nak tulis sebuah pengajaran terbaik yang mungkin boleh dijadikan rujukan untuk anda pada masa akan datang terutama yang berminat berkecimpung dalam bidang wholeseller.

Ingat tak pos saya yang lepas akan projek pemasaran agen offline SaifulSham. Projek itu sedang berjalan dengan baik sekali. Cuma di tengah perjalanannya, ada dugaan yang sangat besar. Dugaaan yang besar itulah yang ingin saya ceritakan kepada anda.

Pada awal saya lancarkan projek memasang agen offline, saya hanya membuka peluang kepada beberapa teman dan rakan yang berminat menjadi agen saya sebagai tempoh percubaan. Saya tidak membuka langsung peluang itu di SaifulSham (blog inilah) disebabkan jika saya membuat 1st timer di SaifulSham, sebarang masalah berlaku akan mungkin menjejaskan reputasi SaifulSham.

Bermula dengan rakan-rakan adalah lebih selamat kerana mereka sudah mengenali SaifulSham dan jika timbul masalah, mereka lebih senang memahami berbanding jika agen-agen offline ini terdiri dari orang diluar lingkungan SaifulSham. Apabila sistem nampak proses kematangannya, barulah saya akan membukanya kepada pembaca SaifulSham.

Pada asalnya, saya melaksanakan teknik pre-order yakni, membuat tempahan barangan. Hebatnya, tempahan masuk mencurah-curah sehingga pada satu ketika tempahan sahaja mencecah 1,000 unit dalam masa seminggu. Tetapi, pada permulaan dahulu, saya meletakkan deposit untuk setiap tempahan.

Sebabnya, saya mahukan serious buyer only. Jika saya menggunakan sepenuhnya modal SaifulSham, katakan pelanggan membatalkan niat membeli, risiko adalah lebih terdedah kepada SaifulSham.

Akan tetapi, nasib tidaklah baik pada peringkat awal kerana banyak tempahan pelanggan tidak ada stok di kilang. Dalam bahasa mudahnya, kilang tidak mempunyai stok yang diingini pelanggan.

Jadi, tidak banyak tempahan tiba di Malaysia. Bila ini terjadi, pelanggan kepada agen-agen saya mengeluh dan mengkritik sistem ini. Malah ada yang menuntut kembali wang deposit. Baiklah, itu masih lagi satu perkara yang normal.

Maka, saya pun membuat sedikit pembaharuan, untuk tempahan akan datang diambil tanpa deposit. Jika stok yang ditempah tidak ada, saya tawarkan alternatif lain (sebagai contohnya warna yang ditempah tiada, saya akan tawarkan dengan warna lain).

Kali ini risiko lebih terdedah kepada SaifulSham kerana pre-order kali ini tidak diambil satu sen pun deposit. Saya ingat saya sudah menyelesaikan masalah yang berlaku awalnya Rupa-rupanya tidak! Apabila stok sampai di Malaysia, kebanyakan pelanggan kepada agen-agen saya tidak mahu warna lain. Mereka hanya mahu warna yang ditempah pada awalnya sahaja.

Pada waktu itulah, saya cukup risau sebab modal dikeluarkan agak besar tetapi ramai yang tidak mahu kerana disebabkan WARNA sahaja. Huhu.

Akan tetapi, walaupun masalah ini berlaku, ia tidaklah menjejaskan jualan SaifulSham disebabkan produk yang tidak mahu diambil pelanggan boleh ditawarkan kepada orang lain. Dan alhamdulillah, ramai orang lain menyambar produk tersebut.

Apabila difikirkan teknik pre-order tanpa deposit pun tidak membantu, maka untuk pengambilan stok terbaru , saya menetapkan cara baru. Sebelum stok masuk ke dalam kapal, setiap model akan dikira dengan teliti dari segi warna, saiz, model dan sebagainya. Semuanya akan dicatatkan dalam satu borang khas.

Semasa dalam pelayaran yang memakan masa 2 minggu, saya sudah boleh menghantar borang khas kepada agen-agen saya berkenaan stok apa yang ada dalam pelayaran. Maka, disini, pelanggan boleh tahu, stok apakah yang sedang belayar ke Malaysia.

Pelanggan bolehlah membayar dahulu secara tunai jika berminat dan mereka yang sudah membayarnya akan diberi keutamaan untuk mendapatkan produk tersebut apabila produk itu tiba di Malaysia.

Teknik ini diambil selepas mengambil kira kelemahan teknik pre-order yang membuatkan duit lambat untuk dipusing. Jadi, kita tengok sahaja keputusan teknik terbaru ini dalam masa 2 minggu lagi.

Sekian,
Wan Mohd Syazwan