Salam pembaca SaifulSham,

Apabila sebut perkataan Skim Cepat Kaya (SCK) saya rasa sudah tidak larat hendak mengulas isu ini. Tidak silap saya, sudah ada beberapa pos saya yang lepas yang berulang-kali menasihatkan agar berhati-hati terhadap sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Saya rasa masalah orang ditipu penganjur skim cepat kaya tidak akan selesai jika seseorang itu tidak mempunyai ilmu tentang kewangan.
Sehingga beratus tahun sekalipun, Skim Cepat Kaya ini akan berevolusi mengikut peredaran zaman dan akan sentiasa ada orang yang merelakan dirinya ditipu.

Dulu, bila saya sebut pasal penternakan lembu, banyak jugalah komen yang mengutuk saya dan saya percaya yang kutuk itu adalah sama ada penganjur atau orang yang menyertai skim tersebut. Kalaulah orang itu membaca tulisan saya sekarang, saya hendak tanya, apa sudah jadi pada pelaburan ‘hebat’ anda itu.

Untuk orang yang ditipu, fikirkanlah dengan waras.

Sepanjang anda melabur dalam instrumen pelaburan yang sah sekalipun seperti di unit amanah, saham, simpanan tetap, hartanah dan lain-lain, apakah anda mendapat sejumlah pulangan seperti dijanjikan skim cepat kaya itu?

Jika tidak, mengapa harus kita memikirkan bahawa kita akan mendapat pulangan yang besar daripada syarikat yang tiba-tiba diwujudkan dan tidak pernah ada track record dalam perniagaan.

Sekarang ini, yang paling ngetop adalah yang berasaskan pertanian. Tidak kiralah lembu ke, cacing ke, lintah ke, burung layang-layang ke atau sebagainya, sebarang bentuk perjanjian yang mengambil wang anda untuk dilaburkan haruslah diragui.

Ada harus letak keraguan sebelum melabur dalam sesuatu pelaburan. Jika kita terus yakin dan sekadar mendengar cakap-cakap orang atau tukang penganjur, memang senanglah kita menjadi mangsa.

Kalau bidang pertanian, pergilah tanya jabatan pertanian sekurang-kurangnya anda tahu bahawa tidak akan ada pelaburan sebegitu yang menjanjikan pulangan terlalu lumayan. Tambah meragukan, habis semua orang hendak dikutipnya deposit pelaburan.

Kalau saya rasa hendak tulis satu persatu, mungkin akan jadi sebuah buku dah tentang isu ini.

Even pengalaman saya sendiri membuat bisnes, tidak ada bisnes yang goyang kaki terus dapat pulangan begitu. Saya sendiri tidak ada masa yang lapang untuk relaks selain hampir 24 jam fikirkan cara untuk majukan bisnes.

Jadi, saya harap tulisan saya diatas ini mampu memberi sedikit cebis kesedaranlah buat orang-orang yang ghairah sangat untuk melabur dalam skim-skim yang terlalu diragui.

Nantilah, ada masa saya ulas lagi lebih mendalam.

Sekian,
Wan Syazwan

P/S: Add saya di Facebook, klik disini.
P/SS: Kunjungi HomeStay pertama kami @ Setiawangsa, klik disini.