4 tahun yang lalu, tiada siapa pun akan menyangka Mahligai Idaman bakal menjadi salah sebuah pemaju hartanah paling berkembang pesat di Kelantan. Sebenarnya, pasaran hartanah Kelantan sangat dinamik cuma belum ada syarikat hartanah gergasi daripada Lembah Klang seperti Sunway, Sime Darby Property, SP Setia, IJM Land dan banyak lagi masuk ke Kelantan.

Mungkin disebabkan ketiadaan rekod pembangunan hartanah daripada syarikat besar ini di Kelantan, maka tiada siapa daripada mereka berani membuat pelaburan ke negeri Cik Siti Wan Kembang.

Ditambah perspektif negatif daripada sesetengah pihak yang menggambarkan seolah Kelantan sebuah negeri yang miskin dan air di Kelantan semuanya kotor yang menghindarkan pemain bertaraf nasional ini menjengah ke Kelantan. Mereka mungkin ada sikap takut pelaburan mereka tidak akan mendatangkan pulangan.

Dengan adanya loop hole inilah, maka banyak syarikat pemaju hartanah lokal lahir. Antara yang pernah popular di Kelantan adalah syarikat SBJ. Selebihnya adalah pemaju hartanah kecil-kecilan.

Loop hole inilah sebenarnya yang membangunkan syarikat pemaju hartanah lokal yang kebanyakan adalah milik bumiputera. Dan, Mahligai Idaman ditubuhkan pada 2008 untuk menyertai pembangunan hartanah di Kelantan disamping mengisi ruang loop hole yang ditinggalkan.

Untuk pengetahuan anda, pengasas Mahligai Idaman iaitu bapa saya sendiri memulakan bidang ini dengan ilmu pengetahuan yang sangat minimum. Beliau sebelum ini lebih dikenali sebagai pelabur tanah iaitu membeli tanah, menukar status dan memecah lot kemudian jual kembali pada harga yang tinggi.

Disebabkan harga tanah kini (yang belum di pecah lot) tidak murah lagi seperti dahulu, maka keuntungan dari jualan tanah pecah lot sudah tidak seberapa, maka oleh sebab itu beliau mencari alternatif lain iaitu menceburi bidang pemaju hartanah.

Dan beliau bermula dengan persaingan yang sengit daripada pemaju hartanah kecil yang lain. Saya masih ingat, target tahun pertama pada 2008 ketika ditubuhkan hanyalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu tempahan rumah sebulan, yakni 12 buah tahun pertama. Jumlah itu sebenarnya sangat kecil jika dibandingkan dengan pemaju hartanah yang sudah established.

Tetapi, itu juga satu permulaan yang baik.

Cukup setahun, sasaran itu berjaya dipenuhi. Tetapi tahun pertama adalah tahun belajar daripada segala kesilapan. Tahun itulah tahun beliau kenal segala macam masalah yang tidak akan dijumpai dalam mana-mana buku mahupun di universiti.

Bermula dengan sub kontraktor yang menipu, kepercayaan institusi kewangan, pelanggan yang mahu meminda rumah sesuka hati, kualiti material yang teruk dan segala macam asam garam dalam dunia hartanah.

Masuk di tahun kedua, Mahligai Idaman mula mendapat rentak permainan dan menjadi sebutan pihak bank di Kelantan.

Dalam case study Mahligai Idaman, sekali lagi terbukti bahawa, pemasaran memainkan faktor sangat penting dalam membuat jualan dan membina jenama. Oleh sebab itu, kini anda boleh lihat dimana-mana sahaja di tepi jalan utama di Kelantan terdapat iklan Mahligai Idaman.

Kini selepas 4 tahun, Mahligai Idaman sudah membina hampir 100 kediaman di Kelantan, iaitu satu rekod cemerlang bagi syarikat bumiputera yang pada satu ketika dahulu tidak pun pernah didengari di Kelantan.

Insyaalah pada tahun ini juga, Mahligai Idaman bakal membuka cawangannya di Terengganu.

Menurut pengasasnya, beliau mengimpikan Mahligai Idaman ini untuk menjadi sebuah permata hartanah di Pantai Timur setaraf dengan syarikat multinasional lain.

Dengan pertumbuhan penduduk saban tahun, industri hartanah tidak akan mati, malah wilayah Pantai Timur akan menjadi satu koridor ekonomi baru yang bakal memacu pertumbuhan sektor hartanah.

Satu perkara yang saya pelajari daripada bapa saya adalah sikap menghargai rakan niaganya sama ada daripada pembekal material, arkitek, peguam, sub kontraktor dan staffnya sendiri. Setiap tahun, saya sendiri tidak akan terlepas peluang menyertai satu sesi eksklusif makan malam dan penyampaian hadiah penghargaan sebagai menghargai rakan niaga yang sama-sama membantu menaikkan jenama Mahligai Idaman.

Setakat itu sahaja, sekian dan jumpa lagi.